KUALA LUMPUR 15 Nov. – Perbezaan pendirian politik tidak bermakna budaya politik matang sukar untuk diraikan terutamanya melibatkan perkara yang telah disalah tafsir pihak tertentu, kata Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail.
Ini susulan tindakan Ahli Parlimen Rembau, Khairy Jamaluddin menegur tajuk berita portal akhbar berbahasa Inggeris tentang perkahwinan kanak-kanak yang didakwa tidak memberi keadilan kepada Wan Azizah.
Wan Azizah yang juga Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat dalam reaksinya menghargai semangat politik matang yang dibawa oleh bekas Ketua Pemuda UMNO itu.
“Terima kasih atas budaya politik matang yang diamalkan dan juga perhatian mengenai isu ini kepada masyarakat.
“Saya tetap teguh dengan pendirian untuk mempertahankan masa depan kanak-kanak dalam isu perkahwinan kanak-kanak,” katanya dalam status Twitter, hari ini.
Sebelum itu, Khairy dalam Twitter beliau menegur tajuk berita sebuah portal berbahasa Inggeris yang disifatkan tidak mencerminkan jawapan Wan Azizah terhadap soalannya di Dewan Rakyat, hari ini.
“Judul ini mengelirukan dan tidak adil kepada TPM (Wan Azizah) yang menjawab soalan saya pagi ini di Parlimen.
“Beliau jelas berkata, Malaysia sedang bergerak untuk mengharamkan perkahwinan kanak-kanak. Sehinggalah undang-undang tersebut dapat dipinda, maka penguatkuasaan ketat peraturan sedia ada akan dilaksanakan,” katanya. – UTUSAN ONLINE










