PUTRAJAYA 15 Nov. – Kementerian Dalam Negeri (KDN) akan mengemukakan cadangan kepada Kabinet untuk menaiktaraf sistem imigresen sedia ada sebelum membangunkan satu sistem baharu yang lebih efisien untuk memastikan perkhidmatan yang disediakan adalah lebih cekap, selamat dan menjimatkan kos.
Menterinya, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, pada masa ini, pihak Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) sedang menyiasat pelbagai dakwaan penyelewengan yang melibatkan beberapa syarikat konsesi yang mendapat hak untuk mengendalikan sistem imigresen.
Menurutnya, KDN memberikan kerjasama sepenuhnya kepada SPRM dalam menjalankan siasatan.
“KDN tidak akan teragak-agak untuk mengambil tindakan tegas terhadap mana-mana pihak jika terdapat bukti mengenai kelemahan atau penyelewengan di dalam pelaksanaan sistem ini,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Beliau mengulas pendedahan sebuah akhbar mengenai dakwaan kelemahan sistem Visa Luar Negara (VLN) atas talian termasuk Entri dan e-visa untuk pelancong dari negara China dan India yang ingin memasuki Malaysia.
Pelaksanaan sistem Entri yang dikendalikan oleh syarikat Ultra Kirana Sdn. Bhd. (UKSB) melalui satu perjanjian konsesi dengan KDN sejak tahun 2016 dikatakan gagal berperanan sebagai sistem saringan dan tapisan awal ke atas warga China yang memasuki negara ini.
Sejak memulakan tugas sebagai Menteri Dalam Negeri, kata Muhyiddin, beliau telah mengarahkan pihak pengurusan KDN untuk mengkaji semula perjanjian-perjanjian konsesi dengan vendor-vendor yang mengendalikan pelbagai sistem imigresen termasuk sistem VLN.
“Tujuan kajian semula ini ialah untuk memastikan kepentingan kerajaan dan keselamatan negara tidak terjejas oleh sebarang bentuk kelemahan yang berkemungkinan wujud di dalam perjanjian mahupun pelaksanaan sistem,” katanya. – UTUSAN ONLINE











