KUALA LUMPUR 15 Nov. – Kapten Vietnam, Nguyen Van Quyet melaungkan amaran, dia dan rakan-rakan sepasukannya akan memastikan Malaysia bukan sahaja tidak akan memenangi pertemuan Piala AFF esok, malah pulang tanpa sebarang mata.
Pengendali Harimau Malaya, Tan Cheng Hoe sebelum ini mengakui, dia sudah cukup gembira jika pasukannya mampu mencuri satu mata ke atas Vietnam dalam aksi ketiga Kumpulan A di Stadium My Dinh, Hanoi.
Bagaimanapun tegas Van Quyet, pasukannya akan memastikan Malaysia tidak punya sebarang ruang untuk berkongsi mata kerana mereka mempunyai tanggungjawab untuk menghadiahkan kemenangan kepada rakyat Vietnam.
“Saya hargai rasa hormat yang ditunjukkan oleh Malaysia kepada kami tetapi saya percaya, kami tidak akan gembira jika hanya mengutip satu mata.
“Kami ada 90 minit untuk berjuang buat rakyat Vietnam, dan tidak kira bagaimana corak permainan lawan kami nanti, kami akan bermain seperti biasa dengan semangat juang tinggi,” kata penyerang berusia 27 tahun itu dalam sidang akhbar di Hanoi, hari ini.
Vietnam, juara 2008 memulakan kempen Piala AFF 2018 dengan membenam Laos 3-0 pada 8 November lalu manakala Malaysia memenangi dua perlawanan pertama – mengalahkan Kemboja 1-0 serta Laos 3-1. – UTUSAN ONLINE











