SERI ISKANDAR – Gara-gara mahu menggunakan motosikal, seorang anak lelaki tergamak menetak bapa kandungnya sendiri dalam kejadian di Kampung Tersusun Bukit Chawi, Kampung Gajah dekat sini Sabtu lalu.
Dalam kejadian pada pukul 2 petang itu, mangsa, Bahari Itam, 90, menerima 11 jahitan di kepala dan tangan akibat ditetak suspek yang berusia 32 tahun itu.
Ketua Polis Daerah Perak Tengah, Superintendan Mohamad Zainal Abdullah berkata, siasatan awal mendapati kejadian berpunca apabila suspek yang merupakan penagih tegar sejak berusia 20 tahun itu mahu menggunakan motosikal bapanya namun tidak diizinkan mangsa.
“Berlaku pertengkaran selepas mangsa tidak membenarkan motosikalnya digunakan dan suspek bertindak berlari mengambil sebilah parang di dalam biliknya sebelum menetak kepala dan tangan mangsa.
“Akibat tetakan tersebut, mangsa mengalami kecederaan sebelum dibawa ke Klinik Kesihatan Ulu Dedap, Seberang Perak bagi mendapatkan rawatan,” katanya ketika dihubungi Kosmo! Online sebentar tadi.
Tambah Mohamad Zainal, suspek kemudian bertindak melarikan diri menaiki motosikal jenis Demak milik mangsa.
“Mangsa menerima tujuh jahitan di kepala dan lima di tapak tangan kiri dan dia seterusnya melaporkan kejadian tersebut kepada pihak polis pada hari sama.
“Tiada saksi yang melihat kejadian tersebut dan suspek yang merupakan anak ke-12 daripada 13 beradik itu ditahan di sekitar kampung berkenaan keesokan harinya,” katanya.
Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan dan suspek akan didakwa di Mahkamah Majistret Batu Gajah esok. – K! ONLINE











