SHAH ALAM – Seramai 46 pendatang asing tanpa izin (PATI) ditahan selepas didapati bekerja secara tidak sah di restoran sekitar Subang Jaya dan Klang di sini malam tadi.
Dalam serbuan selama lapan jam bermula pukul 10 malam itu, mereka yang ditahan berusia 20 hingga 55 tahun.
Pengarah Imigresen Selangor, Mohamad Shukri Nawi berkata, serbuan tersebut adalah hasil maklumat orang awam berikutan terdapat lambakan warga asing di kawasan berkenaan.
Katanya, hasil pemeriksaan mendapati dua daerah itu menjadi lokasi tumpuan warga asing susulan merupakan kawasan perindustrian.
“Pemeriksaan telah dilakukan terhadap 80 warga asing dengan 46 daripadanya PATI.
“Kebanyakan mereka bekerja di premis makanan bagi memperoleh pendapatan untuk kehidupan seharian mereka,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Beliau menambah, PATI yang ditahan terdiri daripada warga Myanmar seramai 20 orang, Indonesia (10), India (8), Bangladesh (7) dan Vietnam (1).
Ujarnya, kesemua yang ditahan terdiri daripada 40 lelaki dan 6 wanita.
“Kesemua PATI telah dibawa ke Pejabat Bahagian Penguatkuasa Jabatan Imigresen Selangor untuk siasatan lanjut.
“Kes kini disiasat mengikut Seksyen 6(1)(c), Seksyen 15 (1) (c) Akta Imigresen 1959/63 dan Peraturan 39 (b) Peraturan Imigresen 1963 dengan masing-masing atas kesalahan tidak mempunyai permit yang sah, tinggal lebih masa dan melanggar syarat pas,” katanya. – K! ONLINE











