KEPALA BATAS 15 Nov. – Polis menahan empat lelaki serta merampas sejumlah dadah dalam satu serbuan di sebuah rumah di Jalan Padang Cempedak dekat Tasek Gelugor lewat malam tadi.
Dalam serbuan pukul 11 malam itu, kesemua mereka yang berusia antara 36 hingga 57 tahun ditahan dalam Op tapis yang dijalankan sepasukan polis dari Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik, ibu pejabat Polis Daerah Seberang Perai Utara (SPU).
Ketua Polis Daerah SPU Asisten Komisioner Noorzainy Mohd. Noor berkata, polis menemukan dua paket lutsinar dan tujuh straw berisi bahan disyaki dadah jenis heroin yang dianggarkan seberat 18 gram di rumah itu.
“Hasil siasatan yang dijalankan mendapati dadah terbabit adalah untuk kegunaan bersama dan dianggarkan bernilai RM630.
“Kesemua mereka yang positif dadah jenis morfin dan menthamphetamine kini ditahan reman selama tujuh hari untuk disiasat di bawah Seksyen 15(1)a dan Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.- UTUSAN ONLINE











