PARIT 15 Nov. – Hanya kerana melarang anak lelakinya daripada menggunakan motosikal, seorang warga emas cedera ditetak sehingga terpaksa menerima 12 jahitan dalam kejadian di Kampung Tersusun, Bukit Chawi di Kampung Gajah, Sabtu lalu.
Dalam kejadian pada pukul 2 petang itu, Bahari Itam, 90, ditetak menggunakan sebilah parang di kepala dan tangan setelah berlaku pertengkaran mulut antara dia dan anaknya yang berusia 38 tahun.
Ketua Polis Daerah Perak Tengah, Superintenden Mohamad Zainal Abdullah berkata, suspek yang merupakan penagih dadah tegar sejak berusia 20 tahun kemudiannya melarikan diri selepas kejadian itu.
Katanya, ketika kejadian tiada saksi yang melihat dan berada di rumah tersebut.
“Semasa mangsa berada di rumah, anaknya itu meminta untuk menggunakan motosikal miliknya namun tidak dibenarkan oleh lelaki itu kerana dia mahu menggunakannya.
“Kejadian itu menyebabkan berlaku pertengkaran antara mereka sebelum suspek berlari ke dalam bilik dan mengambil sebilah parang dan menetak bapanya di kepala, lengan kanan tangan dan tapak kiri tangan,” katanya.
Menurut beliau, suspek melarikan diri dengan menaiki motorsikal miliknya manakala mangsa yang berlumuran darah dibawa ke Klinik Ulu Dedap di Seberang Perak untuk mendapatkan rawatan.
Katanya, suspek yang tidak bekerja itu bagaimanapun berjaya ditahan keesokkan harinya di sekitar kawasan kampung berkenaan.
“Mangsa telah menerima tujuh jahitan di kepala dan lima jahitan di tapak tangan.
“Suspek yang merupakan penagih dadah tegar sejak 20 tahun lalu itu akan dituduh di Mahkamah Batu Gajah esok di bawah Seksyen 324 Kanun Keseksaan,” katanya.- UTUSAN ONLINE











