PUTRAJAYA 15 Nov. – Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) telah mengeluarkan amaran kepada Astro Malaysia Holdings Bhd. (Astro) untuk memastikan insiden seorang usahawan kosmetik mempersenda warna kulit dan raut wajah orang dalam satu program siarannya baru-baru ini tidak berulang.
Suruhanjaya itu dalam satu kenyataan memberitahu, pihaknya memandang serius perkara tersebut.
Menurutnya, Astro selaku pemegang lesen pembekal perkhidmatan aplikasi kandungan individu (CASP-i) adalah tertakluk kepada pematuhan syarat lesen khas serta Kod Kandungan Komunikasi dan Multimedia Malaysia.
“Pihak Astro telah menghadiri perjumpaan dengan SKMM pada 7 November lalu bagi memberi penjelasan butiran insiden serta tindakan pencegahan dan pembetulan yang diambil.
“Permohonan maaf daripada pihak penaja dan Astro telah dikeluarkan semasa siaran program pada 11 November. Sebagai tindakan pencegahan pengulangan insiden, Astro juga telah merakam terlebih dahulu apa-apa segmen melibatkan penaja utama bagi program ini,” katanya di sini hari ini.
Sebelum ini, usahawan kosmetik berkenaan mengundang kontroversi apabila ingin memberikan produknya kepada seorang wanita yang dilabelkan ‘hodoh’. – UTUSAN ONLINE











