GUA MUSANG 15 Nov. – Orang awam yang melihat kejadian langgar lari melibatkan seorang pejalan kaki di Kilometer 42, Jalan Gua Musang-Kuala Krai, berhampiran Felda Chiku 3 di sini pada 6 November lalu diminta tampil memberi maklumat bagi membantu siasatan polis.
Dalam kejadian tersebut, mayat Zakaria Jusoh, 71, dijumpai oleh penduduk kampung kira-kira pukul 7.30 pagi di tepi bahu jalan sebelah kiri berhampiran jambatan di Felda Chiku 3.
Ketua Polis Daerah, Superintenden Mohd. Taufik Maidin berkata, mangsa merupakan seorang peneroka dan mempunyai masalah sakit mental ditemukan meninggal dunia di tempat kejadian.
Katanya, hasil siasatan awal mendapati mangsa dipercayai terbabit dengan kemalangan lari dan siasatan lanjut masih diteruskan.
“Kejadian dipercayai berlaku apabila mangsa berjalan dari rumahnya yang terletak di Felda Chiku 1 telah dilanggar sebuah kenderaan tidak pasti jenis serta nombor pendaftarannya.
“Mangsa kemudiannya ditemukan orang awam dalam keadaan tidak bernyawa dan mayatnya dihantar ke Hospital Gua Musang untuk proses bedah siasat,” katanya sambil memberitahu kes disiasat di bawah Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Sebarang maklumat boleh disalurkan kepada Pegawai Penyiasat Trafik Ibu Pejabat Polis Daerah Gua Musang, Inspektor Petriamirah Majidi di talian 09-9121222. – UTUSAN ONLINE











