SEREMBAN – Keputusan petisyen Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) yang difailkan oleh calon Parti Keadilan Rakyat (PKR), Dr. S. Streram bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Rantau dijangka diketahui esok.
Streram berkata, peguam beliau telah menerima surat daripada Mahkamah Tinggi Seremban berhubung perkara itu kelmarin dan berharap keputusan akan memihak kepadanya.
“Keputusan petisyen akan dibuat di hadapan hakim Mahkamah Tinggi pada pukul 9 pagi. Saya akan hadir dan berdoa agar usaha kami untuk mendapatkan Pilihan Raya Kecil (PRK) berjaya,” katanya ketika dihubungi Kosmo! Online di sini hari ini.
Streram, 63, yang juga pakar bius memfailkan petisyen bagi mencabar keputusan PRU-14 bagi kerusi DUN Rantau di kawasan Parlimen Rembau di Mahkamah Tinggi Seremban pada 23 Mei lalu.
Beliau diwakili peguamnya, GP Sreekant, Muhammad Rafique Rashid Ali dan Sathia Stella berbuat demikian bagi memohon perintah mahkamah supaya PRK diadakan di kawasan berkenaan.
Alasan diberikan adalah perjalanan penamaan calon PRU-14 tidak dilaksanakan mengikut undang-undang sehingga Streram dihalang menyerahkan borang pencalonan kepada Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).
Streram menamakan calon Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Mohamad Hasan sebagai responden pertama; Pegawai Pengurus Pilihan Raya DUN Rantau, Amino Agos (kedua) dan SPR (ketiga).
Mohamad diumumkan menang tanpa bertanding bagi kerusi DUN Rantau selepas Streram gagal menghantar borang penamaan calon kerana tidak dibenarkan masuk ke pusat penamaan calon disebabkan tidak mempunyai pas SPR.
Sementara itu, Streram berkata, beliau yakin akan dicalonkan semula oleh pucuk pimpinan PKR jika PRK DUN Rantau diadakan dan telah bersiap sedia untuk menghadapinya. – K! ONLINE











