Kekal hukuman mati kesalahan bunuh kanak-kanak - Utusan Malaysia

Kekal hukuman mati kesalahan bunuh kanak-kanak

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR 12 Nov. – Hukuman mati perlu dibenarkan bagi kes pembunuhan ter­utamanya melibatkan kanak-kanak dan bayi.

RAMKARPAL SINGH

Ahli Parlimen Bu­kit Gelugor, Ramkarpal Singh berkata, pemansuhan sepenuh hukuman mati boleh diperdebatkan, namun bagi kes pembunuhan terhadap kanak-kanak hukuman tersebut wajar dikekalkan.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Selalunya saya menyokong pe­man­­suhan hukuman mati, namun bagi kes seperti ini saya fikir hukuman berkenaan perlu dikekalkan khusus bagi kes-kes luar biasa terutama­nya pembunuhan ngeri dengan terdapat bukti-bukti terten­tu terhadap pelaku berada di luar keraguan munasabah,” katanya dalam satu kenyataan di sini semalam.

Beliau mengulas kematian seorang bayi berusia 11 bulan, Nur Muazara Ulfa Mohammad Zainal Jumaat lalu selepas dua hari bertarung nyawa ketika mendapatkan rawatan di Hospital Serdang sejak Rabu lalu, dipercayai akibat didera suami kepada pengasuhnya.

Ramkarpal berkata, beliau juga mengambil tahu tentang kebimbangan keluarga mang­sa jika pemansuhan hukuman mati dilaksanakan dan kemungkinan wujud isyarat salah bahawa jenayah berkenaan tidak ditangani secara serius.

“Kita tidak boleh lupakan kebimba­ngan tersebut. Saya berpendapat sepatutnya mahkamah menggunakan kebijaksanaan untuk mengenakan hukuman mati kepada kes-kes kejam,” katanya.

Beliau juga berharap agar mahkamah dapat membuat pertimbangan dalam setiap kes yang dibicarakan berdasarkan kepada fakta dan juga keadaan.

“Budi bicara juga akan membolehkan mahkamah mempertimbangkan sebarang faktor pengurangan yang mungkin memihak kepada tertuduh dalam pertuduhan hukuman mati. Ia bukan satu perkara mudah, namun pada masa sama jenayah berat tidak boleh terlepas daripada undang-undang,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×