TAIPEI 12 Nov. – Menyedari betapa signifikannya bilangan pelancong dari negara Islam yang dijangka meningkat dari 117 juta pada 2017 kepada 168 juta menjelang 2020, Taiwan tidak ketinggalan mempergiatkan industri pelancongan untuk lebih mesra terhadap umat Islam.

Sejak tahun lalu Taiwan melakukan promosi secara agresif untuk menarik perhatian pelancong Islam agar datang ke negara yang mempunyai bilangan penduduk berjumlah hampir 24 juta orang dan majoritinya beragama Buddha dan Taoist.
Terbaharu negara yang hanya mempunyai 300,000 penganut beragama Islam itu melancarkan program Salam Taiwan bagi menarik lebih ramai pelancong beragama Islam dari seluruh dunia termasuk Malaysia.
Ketua Seksyen Bahagian Hubungan Antarabangsa Taiwan, David Tsao berkata, melalui program Salam Taiwan yang mengangkat pengacara dan pelakon Mira Filzah sebagai Duta Pelancong Malaysia sejak Ogos lalu, pelancong Islam dari Malaysia disasarkan meningkat tahun depan.
“Rakyat Malaysia merupakan bilangan pelancong tertinggi dari Asia Tenggara ke Taiwan tahun lepas. Jumlah yang dicatatkan seramai 528,000 orang dan daripada jumlah tersebut hanya 10 hingga 20 peratus merupakan pelancong Islam. Justeru melalui Salam Taiwan kita menyasarkan peningkatan sebanyak 10 peratus pelancong Islam dari Malaysia.
“Rakyat Taiwan mudah mesra kepada orang luar tidak kira agama dan bangsa. Justeru mereka amat mengalu-alukan kehadiran pelancong Islam ke Taiwan,” kata Tsao kepada pengamal media dari Malaysia yang dijemput oleh Biro Pelancongan Taiwan untuk melihat sendiri kemudahan yang disediakan oleh Taiwan kepada pelancong Islam.
Negara pulau yang berkeluasan 35,917 kilometer itu sehingga kini mempunyai kira-kira 324 restoran termasuk di dalam hotel bertaraf lima bintang yang memperoleh sijil halal daripada Persatuan Muslim China (CMA). Persatuan tersebut sentiasa aktif memastikan restoran terbabit mematuhi perakuan halal yang mereka peroleh. – UTUSAN











