Lompat parti kerana perjuangkan kebenaran - Afif - Utusan Malaysia

Lompat parti kerana perjuangkan kebenaran – Afif

DR. AFIF BAHARDIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Tindakan melompat parti dalam kalangan pemimpin politik kerana menjaga kepentingan negara dan memperjuangkan kesejahteraan rakyat, bukan satu kesalahan.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Seberang Jaya, Dr. Afif Bahardin berkata, sebagai seorang ahli yang pernah dipecat, para pemimpin lain harus berani bersuara demi kebenaran.

“Pemimpin bukannya maksum namun pemimpin ada kuasa untuk mengubah demi kebaikan. Saya lihat kalau kepentingan peribadi lebih tinggi daripada kepentingan rakyat dan negara, saya tidak boleh terima idea itu.

“Adakah bersuara menegur pemimpin adalah satu kesalahan? Saya telah dipaksa keluar parti iaitu telah dipecat oleh kerana saya membawa suara yang berbeza,” katanya kepada Utusan Malaysia semalam.

Baru-baru ini, Setiausaha Agung Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Datuk Seri Hamzah Zainuddin berkata, gelaran pengkhianat kepada mana-mana parti politik di negara ini selepas pembentukan kerajaan Perikatan Nasional (PN) tidak sepatutnya timbul kerana matlamat asas kepada penubuhan kerajaan baharu adalah untuk menumbangkan Pakatan Harapan (PH)

Tambah Afif, tindakan keluar parti bukan kayu pengukur kredibiliti pemimpin tetapi kesetiaannya demi prinsip harus diketengahkan.

“Kesetiaan ini pada prinsip, kesetiaan harus berpandukan atas dasar apa kita masuk politik. Pengalaman saya dalam politik tidaklah panjang tetapi saya mendukung tanggungjawab sebagai pimpinan muda, ahli politik dan rakyat.

“Saya juga bukanlah lompat parti tetapi saya ambil pendirian untuk menyuarakan pandangan saya secara terbuka dan tertutup kepada parti tetapi diambil tindakan dengan dipecat dan melemparkan banyak tuduhan kepada saya,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×