KUALA LUMPUR 31 Okt. – KEGIATAN penyalahagunaan dadah di Projek Perumahan Rakyat (PPR) dan Perumahan Awam (PA) sekitar ibu kota semakin serius apabila menjadikan kanak-kanak dan remaja sebagai ‘mata-mata’ untuk mengelak tindakan penguatkuasaan.
Demi mendapatkan bayaran upah beberapa puluh ringgit, ada kanak-kanak yang sanggup menjadi spy kumpulan penagih dengan memberi maklumat mengenai kehadiran pihak berkuasa seperti polis dan Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK).
Taktik itu dilakukan oleh penagih untuk menyelamatkan diri daripada dicekup oleh pihak berkuasa ketika melakukan aktiviti tidak bermoral itu.
Tinjauan Utusan Malaysia di PPR Desa Rejang, PPR Seri Semarak dan PA Seri Johor mendapati berlaku penyalahgunaan dadah di unit-unit kediaman kosong, kawasan belakang bangunan dan bahagian tangga yang jarang dilalui penduduk.
Menurut beberapa penghuni yang ditemui, penyalahgunaan dadah turut melibatkan sindiket penjualan dan pengedaran kepada penduduk.
Pengerusi Persatuan Penduduk Desa Rejang, Mohd. Noor Md. Tahir memberitahu, modus operandi yang digunakan mereka cukup mudah iaitu dengan meninggalkan bahan terlarang itu di tempat yang dijanjikan oleh pengedar dan penagih.
“Kami pernah menemui bekalan dadah di beberapa kawasan seperti tempat letak motosikal ketika membuat pemantauan.
“Keadaan semakin teruk sekarang dan kami harap pihak berkuasa dapat meningkatkan penguatkuasaan,” katanya.











