MENTERI Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman semalam membuat ‘teguran’ terhadap Ahli Parlimen termasuk daripada pihak kerajaan agar tidak lagi menerima lantikan bagi menerajui persatuan sukan di negara ini.
Syed Saddiq berkata, walaupun perkara tersebut di luar bidang kuasa beliau sebagai menteri, teguran itu perlu dibuat bagi mengelak berlakunya campur tangan politik dalam sukan yang mungkin menjejaskan masa depan sukan di negara ini.
“Saya ingin memberi teguran, kalau boleh tolonglah jangan lagi terima lantikan sebagai presiden atau pengerusi bagi persatuan-persatuan sukan sedia ada. Mungkin perkara ini nampak kecil tetapi implikasinya besar.
“Bila terima (lantikan), nanti (kementerian) dapat surat-surat memaklumkan kementerian perlu beri peruntukan tambahan (untuk persatuan sukan ini) walhal di negara maju tidak ada orang politik yang mengetuai persatuan sukan ini,” katanya ketika menggulung usul Kajian Separuh Penggal Rancangan Malaysia ke-11 untuk kementeriannya di Dewan Rakyat semalam.
Menurut Syed Saddiq, campur tangan kalangan orang politik boleh mengganggu kaedah kementerian menetapkan peruntukan kewangan kepada sesebuah persatuan yang sepatutnya dibuat berdasarkan merit dan pencapaian bagi memastikan persatuan yang benar-benar layak sahaja menerima peruntukan.
Bagaimanapun katanya, tiada paksaan dalam perkara itu kerana kementerian, khususnya Menteri Belia dan Sukan tidak boleh campur tangan dalam pemilihan persatuan sukan kerana ia akan memberi implikasi besar kepada sektor sukan negara.
“Implikasinya amat besar kalau menteri campur tangan, contohnya kalau saya kata saya keluarkan satu arahan, besar kemungkinan FAM (Persatuan Bola Sepak Malaysia) atau pasukan bola sepak Malaysia tidak boleh mewakili Malaysia pada peringkat antarabangsa.
“Ini kerana akan ada sanctioning daripada FIFA (Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa) seperti yang berlaku di Indonesia baru-baru ini bila ada campur tangan daripada kementerian mereka,” ujarnya. – Bernama











