Bangkai pesawat Lion Air dipercayai ditemui - Utusan Malaysia

Bangkai pesawat Lion Air dipercayai ditemui

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JAKARTA – Pasukan mencari dan menyelamat (SAR) tragedi pesawat Lion Air yang terhempas di perairan Tanjung Karawang pada Isnin lalu mengesan satu objek dipercayai bangkai pesawat itu semalam.

Laporan televisyen tempatan memetik Panglima Tentera Nasional Indonesia (TNI), Hadi Tjahjanto berkata, pasukan SAR yang menggunakan teknologi sonar mengesan objek tersebut di satu koordinat di perairan berkenaan.

“Belum diyakini (bangkai pesawat), saat ini (kami) telah fokus satu titik (koordinat), apa yang dipercayai adalah bahagian JT610 (pesawat Lion Air),” katanya dipetik siaran televisyen Berita Satu.

Memuatkan artikel berkaitan…

Beliau yang turut serta dalam operasi pencarian itu berkata, pasukan penyelam te­lah diarahkan ke lokasi berkenaan.

Bercakap semasa di atas kapal tentera laut TNI, Kolonel Haris Djoko Nugroho pula memberitahu stesen tersebut bahawa satu objek sepanjang 22 meter (m) dijumpai di dalam laut pada kedalaman 32m.

Operasi pencarian 24 jam itu yang melibatkan anggota tentera, polis serta Badan Nasional­ Pencarian dan Pertolongan Indonesia (Basarnas) menggunakan 35 kapal, tiga helikopter serta tiga pesawat selain pasukan penyelam.

Operasi pencarian turut menggunakan peralatan canggih seperti pemerum gema berbilang alur, sonar dan kende­raan kawalan jauh (ROV) bagi mengesan bangkai pesawat.

Penerbangan JT610 yang membawa 181 penumpang dan lapan anak kapal itu terhempas tidak lama setelah berlepas dari Lapangan Terbang Soekarno-Hatta pada pukul 6.20 pagi Isnin lalu

Pesawat jenis Boeing 737 MAX 8 itu dijadualkan tiba di Lapangan Terbang Depati Amir Pangkal Pinang pada pukul 7.10 pagi hari sama (waktu Indonesia Barat), dilaporkan terputus hubungan sebelum terhempas. – Bernama

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini