SEKITAR pukul 8 malam pada tahun 2015, Penolong Kanan Penguasa Bomba, Imam Bukhari Susami, 34, mendapat panggilan menyelamat yang memerlukan kemahiran pasukan High Rise Rescue Team (HRRT).
Selaku penyelia HRRT, Imam Bukhari mengumpulkan lapan anggotanya untuk operasi menyelamat yang dilaporkan di kawasan Taman Burung Kuala Lumpur.
Setibanya di lokasi, maklumat dikumpulkan daripada anggota Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia yang tiba lebih awal di lokasi kejadian untuk merancang strategi menyelamatkan mangsa.
Namun maklumat yang diterima membuatkan Imam Bukhari tersenyum kerana mangsa yang perlu diselamatkan rupanya hanyalah seekor burung helang.
“Bila kami dapat tahu mengenai siapa ‘mangsa’ yang sebenarnya, rasa nak tergelak pun ada, tetapi misi menyelamat perlu diteruskan.
“Saya dimaklumkan burung tersebut adalah milik Taman Burung Kuala Lumpur yang tersekat di dahan pokok setinggi 500 meter atau bersamaan dengan bangunan lapan tingkat,” katanya.
Menurut Imam Bukhari, burung tersebut tidak boleh terbang kerana tali yang diikat pada kakinya terbelit pada dahan pokok.
Jelas anak jati Kuala Lumpur itu, dia menggunakan teknik ‘airthrow’ iaitu menembak tali ke atas dahan untuk dijadikan medium kepada anggota bomba naik dan melakukan operasi menyelamat.
“Semuanya selesai dengan baik dan operasi tersebut walaupun nampak remeh tetapi masih kekal dalam ingatan saya.
“Jangan ingat hanya manusia yang tersangkut atau terperangkap di tempat tinggi sahaja perlu diselamatkan, burung yang mampu terbang pun kami perlu bantu jika memerlukan,” katanya.
Bercerita mengenai pasukannya, jelas bapa kepada dua orang anak ini, kemahiran ikatan tali dan tidak gayat antara yang diperlukan untuk bertugas dalam HRRT.
Ujarnya, jika tersalah teknik, perkara itu bukan sahaja boleh mengundang bahaya kepada anggota penyelamat, tetapi juga menyukarkan operasi.
Disebabkan itu menurut Imam Bukhari, pemantauan ikatan dan tahap keselamatan amat diutamakan sebelum kebenaran untuk memulakan operasi diberikan.
“Kami menyelamat di kawasan tinggi dan hanya bergantung pada tali sahaja. Saya kena pastikan semua anggota lengkap dari setiap aspek keselamatan diri,” jelasnya.
16 tahun bersama HRRT, rasa ‘gerun’ tetap ada
WALAUPUN sudah 16 tahun bertugas dalam unit HRRT, Pegawai Bomba Kanan 2, Zulkifli Ramli, 48, mengakui rasa gerun ketika hendak melakukan operasi menyelamat di kawasan tinggi sentiasa ada.
Menurutnya, risiko sentiasa ada pada setiap operasi apatah lagi beliau atau rakan-rakan yang lain hanya bergantung pada tali sahaja.
“Sebab itu kerja-kerja menyelamat ini tidak boleh dibuat dengan cepat apatah lagi melibatkan nyawa mangsa dan anggota penyelamat,” jelasnya.
Sekitar tahun 2013, jelas Zulkifli, terdapat satu kes yang mana sebuah gondola yang membawa pekerja mencuci bangunan tersangkut.
Jelasnya, ketika itu mangsa tersangkut di tengah-tengah bangunan 20 tingkat akibat tali kabel gondola tersebut putus.
“Mangsa ketika itu cedera kerana gondola telah terjatuh dan kami terpaksa membawa turun mangsa menggunakan tali dan pengusung.
“Operasi menyelamat mangsa yang tersangkut di dalam gondola itu berjalan lancar dan hanya mengambil masa setengah jam sahaja,” ujarnya.
Ujar beliau, jika kerja-kerja menyelamat dilakukan dengan tergesa-gesa, risau perkara lain pula akan berlaku yang akhirnya menambah risiko kepada anggota penyelamat.
Tambahnya, keselamatan mereka hanya bergantung pada tali dan persediaan lain untuk mengikat tali tersebut sebelum memulakan operasi.
“Setakat ini belum ada lagi operasi menyelamat yang mengancam nyawa saya atau dikira gagal.
“Semuanya dilakukan dengan pemeriksaan yang cukup teliti supaya operasi berjaya tanpa sebarang masalah lain,” jelasnya.
Bergelut dengan mangsa bunuh diri
SELAIN cabaran menyelamat di tempat tinggi, faktor-faktor lain seperti keadaan bangunan dan emosi mangsa juga antara yang perlu dilihat sebelum melakukan sebarang operasi.
Pegawai bomba, Muhammad Sopian Muhammad Zahid, 35, antara yang pernah melalui pengalaman getir menyelamatkan seorang mangsa bersenjata yang cuba membunuh diri.
“Kes berlaku tahun lepas di Cheras, Kuala Lumpur melibatkan seorang pesakit mental yang ingin membunuh diri dengan terjun dari koridor rumahnya di tingkat 12.
“Apa yang saya tahu, mangsa ketika itu memegang sebilah pisau dan pintu kaca koridor telah dikunci dari luar hingga menyukarkan keluarga dan pasukan penyelamat untuk menangkapnya,” jelasnya.
Selepas memastikan semua aspek menyelamat berada dalam keadaan terbaik, Muhammad Sopian mula turun dari tingkat 14 dan menunggu masa yang sesuai untuk menerkam mangsa dari luar.
Jelasnya, seorang daripada rakannya memberi isyarat untuk menyelamatkan mangsa dan berlaku sedikit pergelutan.
“Ketika itu saya memang nampak pisau yang telah diletak di atas lantai dan saya bergelut dengan mangsa supaya dia tenang serta tidak melakukan sesuatu di luar jangkaan,” jelasnya.
Tambahnya, perkara-perkara sebegini memerlukan keyakinan seorang anggota sebelum menyelamat untuk mengelak perkara tidak diingini berlaku.











