Erat hubungan manusia, alam semula jadi - Utusan Malaysia

Erat hubungan manusia, alam semula jadi

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MELIHAT tapir di depan mata merupakan satu pengalaman yang tidak mungkin dilupakan oleh Jancy William, 19.

“Haiwan ini mesti dijaga agar semua orang berpeluang melihatnya dan ia tidak pupus di dunia ini,” katanya ketika menyertai sambutan Minggu Alam Sekitar di Pusat Konservasi Hidupan Liar Sungai Dusun, Jalan Sabak Bernam, Selangor anjuran Pertubuhan Konservasi Alam Malaysia (Perkam) bersama Renjer Konservasi Alam Malaysia baru-baru ini.

Seramai 125 orang peserta menyertai Minggu Alam Sekitar yang disambut pada tarikh 21 hingga 27 Oktober setiap tahun itu.

Memuatkan artikel berkaitan…

Para peserta terdiri daripada Pelajar Jabatan Perdagangan Politeknik Sultan Azlan Shah (PSAS) dan murid-murid Sekolah Kebangsaan Bandar Behrang 2020 serta beberapa sekolah lain.

Program itu bertambah meriah apabila ia turut meraikan Hari Haiwan Sedunia dan Hari Habitat Sedunia yang jatuh pada bulan Oktober setiap tahun.

Menurut Pengerusi Perkam, Dr. Santharasekaran Subramaniam, para peserta diberi pendedahan mengenai kepentingan memelihara dan memulihara binatang terancam seperti tapir serta buaya jejulung yang dipelihara di lokasi tersebut.

“Program ini merupakan salah satu cara untuk memastikan spesies haiwan itu lestari dan terpelihara.

“Pendedahan terhadap pemuliharaan haiwan merupakan satu tanda kasih sayang manusia kerana kita hidup bersama dalam satu ekosistem yang saling memerlukan antara satu sama lain,” katanya ketika merasmikan program itu baru-baru ini.

Jelasnya, para peserta dibahagikan kepada dua acara iaitu pelajar PSAS menjalankan kerja sosial seperti membersihkan kawasan persekitaran di pusat itu dan menanam 16 batang anak pokok nangka bagi memastikan bekalan makanan tapir sentiasa ada pada masa hadapan.

Murid-murid sekolah rendah pula melakukan Program Hijaukan Bumi dengan menanam pokok kelapa.

Para peserta digalakkan untuk sentiasa bekerjasama dengan masyarakat dan kerajaan dalam memulihara alam ini agar ia sentiasa sihat dan selamat.

Konsep keakraban

Pada akhir program, semua peserta berpeluang untuk melihat serta memberi makan kepada buaya jejulung dan tapir.

Mereka amat teruja kerana dapat melihat dua spesies yang berada dalam kategori terancam dan perlukan perhatian serius.

Sementara itu, Kaunselor SK Bandar Behrang 2020, Abdul Hakim Radzi berkata, program kerjasama sosial dan aktiviti mendekati alam adalah satu konsep keakraban antara manusia dengan alam yang perlu ditekankan dalam diri rakyat Malaysia.

“Perkara ini perlu dimulai sejak kecil lagi agar anak-anak dapat menonjolkan kemesraan terhadap hidupan lain.

“Aktiviti kerja sosial itu sangat digalakkan agar kesejahteraan alam terpelihara, malah pelajar juga akan lebih peka terhadap isu semasa berkaitan alam sekitar di negara ini,” ujarnya.

Pensyarah Jabatan PSAS, Nor Rafidah Abdul Rahman pula berkata, kerja-kerja sosial yang dijalankan itu dapat menerapkan rasa kasih sayang pelajar kepada alam sekitar.

Pada akhir program, peserta menerima sijil penyertaan yang disampaikan oleh Ketua Jabatan Perdagangan PSAS, Salehan Marsim.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini