JOHOR BAHRU 23 Okt. – Kejadian gempa bumi yang melanda Lombok, Indonesia pada penghujung Julai dan awal Ogos lalu bukan sahaja mengorbankan beberapa nyawa, malah membawa banyak kemusnahan, khususnya harta benda penduduk.
Walaupun dalam kesedihan, musibah alam itu turut membawa ‘sinar’ bagi mengeratkan lagi perhubungan serta ukhuwah sesama manusia apabila banyak pihak segera menghulurkan bantuan kepada mangsa yang terjejas.
Antara yang terpanggil untuk menyantuni mangsa di beberapa kawasan di Lombok ialah MyCare iaitu sebuah pertubuhan bukan kerajaan di negara ini yang aktif melaksanakan misi kemanusiaan di negara-negara dan tempat ditimpa musibah.
Turut menyertai misi kemanusiaan berkenaan ialah Kadet Remaja Sekolah (KRS) Musleh dan pasar raya Econsave yang menghulurkan bantuan kepada penduduk di sana baru-baru ini.
Sepanjang tiga hari di Lombok, pelbagai tempat dilawati dan ahli rombongan menyampaikan sumbangan kepada mangsa yang ternyata masih trauma serta sedang berusaha ‘bangkit’ untuk membina semula kehidupan pascagempa.
Selain sumbangan barang keperluan, delegasi turut memberikan semangat kepada penduduk yang terjejas secara fizikal dan mental termasuk masih enggan tidur di dalam rumah pada waktu malam kerana bimbang tentang keselamatan diri sekiranya berlaku gempa akibat banyak kediaman dan premis yang ranap dalam kejadian tempoh hari.
Menyedari keperluan itu, pada misi kali ini Econsave membina 20 ‘Rumah Senyum’ yang menelan kos RM12,000 sebuah kepada beberapa mangsa di Kampung Pengembok, Lombok Utara dan Kampung Sukadatu, Lombok Timur, selain memberikan sumbangan makanan dan barangan keperluan wanita.
KRS Musleh turut memperuntukkan RM40,000 bagi membina sebuah sekolah yang turut dijadikan madrasah untuk kanak-kanak mengaji di Kampung Pengembok selepas sekolah mereka ranap semasa kejadian gempa berkenaan.
Selain itu, semasa kunjungan ke Kampung Sembalun di kaki Gunung Rinjani yang menjadi ikon Lombok, ahli rombongan yang diketuai Pengerusi MyCare Johor, Dr. Mohd. Zin Kandar dan disertai Pengurus Besar Econsave Wilayah Selatan, Mas Imran Adam serta Pengerusi KRS Musleh, Abd. Rahaim Md. Isa turut menyampai sumbangan masing- masing berjumlah RM1,000 bagi pembinaan semula Masjid Al-Munawarah yang terpaksa dirobohkan kerana tidak selamat digunakan lagi.
Nyata usaha dan keprihatinan MyCare, pasar raya Econsave dan KRS Musleh berjaya memberikan senyuman dan meringankan bebanan mangsa-mangsa bencana alam berukuran 6.2 pada skala richter yang menggegarkan Lombok timur pada 29 Julai dan 7.0 pada skala richter di Lombok utara pada 5 Ogos lalu.











