Akibat daripada kerakusan manusia - Utusan Malaysia

Akibat daripada kerakusan manusia

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KALAULAH Cameron Highlands ibarat sekujur tubuh manusia sudah pasti, insan itu sedang menghadapi pelbagai penyakit dan menanti masa untuk meninggalkan alam fana ini, tetapi Cameron Highlands bukan tubuh manusia sebaliknya adalah alam semula jadi anugerah Allah SWT kepada bumi Malaysia.

Kawasan tanah tinggi yang diteroka oleh seorang pengembara Britain, William Cameron akhirnya menjadi satu destinasi pelancongan cukup terkenal kerana udara sejuk, tetapi sekarang Cameron Highlands bagaikan sudah hilang kesejukan. Apa yang kita tahu ketika ini daerah di Pahang Darul Makmur itu berhadapan dengan ancaman alam sekitar serius. Segalanya berlaku akibat kerakusan manusia. Rakus meneroka tanah secara haram dan kerakusan segelintir manusia mahu hidup senang melalui amalan rasuah. Apa kesannya kepada Cameron Highlands pada kemudian hari tidak dipedulikan.

Kejadian tanah runtuh pada 14 Oktober lalu di Batu 49, Kampung Tiga, Kuala Terla sekali lagi ‘membangkitkan’ semangat semua pihak untuk mengamalkan sikap berlaku tragedi baru mahu bertindak. Bagaikan kata pepatah, sudah terantuk baru tengadah. Sekali lagi, kalau Cameron Highlands manusia sudah lama insan itu meninggal dunia kerana kerap sangat terantuk.

Memuatkan artikel berkaitan…

Dan kini sekali lagi nasib Cameron Highlands menjadi perbincangan. Semua pihak memberi pandangan termasuk pihak berkuasa, tetapi apa kesudahannya? Atas sebab itulah penulis berpendapat, dakwaan berlakunya amalan rasuah tidak boleh dipinggirkan.

Ketegasan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) untuk bertindak jika benar berlaku perbuatan jahat tersebut harus dipuji, tetapi isu Cameron Highlands bukan melibatkan satu agensi sahaja, sebaliknya menuntut keprihatinan semua pihak.

Cameron Highlands perlu diselamatkan daripada tangan-tangan yang rakus meneroka secara haram hutan dan cerun bukit bagi tujuan komersial dan tangan-tangan yang tergamak menerima rasuah membiarkan tanah tinggi itu terus ‘dicabuli’.

Op Gading yang satu ketika dahulu dilancarkan oleh kerajaan bagi memulihkan situasi di Cameron Highlands perlu dilaksanakan semula. Kita tidak boleh lagi bertolak ansur dengan menganggap kejadian tanah runtuh di kawasan tersebut adalah perkara kecil.

Pakar-pakar geologi sudah memberi pandangan, persatuan alam sekitar sudah membuat desakan, oleh itu sekarang masa untuk bertindak. Janganlah hanya bertindak selepas tragedi lebih besar berlaku.

Kita sudah bosan mendengar amaran, kita sudah muak mendengar ulasan. Semua itu tidak memberi faedah kepada usaha menyelamatkan Cameron Highlands. Kerajaan perlu memandang serius pandangan pakar-pakar yang sudah tentu sudah membuat kajian sebelum memberi pandangan.

Kenyataan bahawa Cameron Highlands tidak lagi selamat untuk pelancong jika aktiviti penerokaan dan pembalakan haram masih lagi berterusan seperti mana ditegaskan oleh Pakar di Pusat Kawalan dan Persediaan Bencana, Fakulti Teknologi dan Informatik Razak Universiti Teknologi (UTM), Dr. Khamarrul Azahari Razak perlu dipandang serius.

Oleh itu, sebab munasabah yang menjadi punca keadaan Cameron Highlands semakin teruk harus dicari dan diatasi. Kalau rasuah menjadi penyebabnya, bertindaklah segera. Jangan biarkan segelintir puak-puak yang tidak amanah menjamah wang haram ‘meruntuhkan’ kawasan pelancongan tersebut. Siapa mereka, biarlah SPRM menyiasatnya.

Penulis percaya SPRM mempunyai kepakaran untuk bertindak seperti mana yang sudah terbukti sebelum ini apabila sejak 2015 23 individu termasuk Ahli Majlis Daerah ditahan selain akauntan pejabat daerah, kontraktor, pekebun dan pendatang asing tanpa izin (PATI).

Pada masa sama, agensi-agensi kerajaan yang lain termasuklah Majlis Keselamatan Negara (MKN) perlu diberi tanggungjawab sepenuhnya untuk menjaga khazanah negara itu.

Setakat memberi amaran dan memberi kenyataan untuk bertindak ia sama sekali tidak akan memberi kesan kepada golongan yang tamak haloba tidak kira sama ada mereka untuk menjadi peneroka haram atau penerima rasuah.

Cameron Highlands harus dibersih dan diselamatkan. Bersih daripada gejala rasuah, bersih daripada kebun haram dan selamat daripada manusia-manusia rakus.

Kesimpulannya, kerajaan perlu melakukan sesuatu bagi memulihkan keadaan Cameron Highlands. Kerosakan yang terjadi mungkin tidak boleh diperbaiki sepenuhnya tetapi sekurang-kurangnya tindakan penguatkuasaan yang tegas mampu mengelakkan Cameron Highlands daripada berhadapan dengan bencana lebih besar.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini