Kebersihan premis jadi persoalan - Utusan Malaysia

Kebersihan premis jadi persoalan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR 23 Okt. – Bagi sebahagian jutaan warga asing di negara ini termasuklah yang bekerja di premis menjual makanan, pemahaman kebersihan bagi mereka tidak sama dengan tafsiran rakyat Malaysia.

Perkakas dapur dibasuh di lo­pak air, bahan mentah dibiarkan di lantai dan dapur dalam keada­an jijik. Bagi mereka, itu mungkin okey, tetapi tentunya tidak bagi kita.

Dua kes sebelum ini melibatkan sebuah restoran nasi daun pisang di ibu negara dan terbaharu restoran sate tulang terkenal di Seremban, harus membuka mata ramai, sejauh mana tahap kebersihan premis menjual makanan terutama yang dikendalikan warga asing.

Memuatkan artikel berkaitan…

Itu yang tular di media sosial bagaimana pula realiti di ratusan ribu restoran, kedai makan dan warung yang mana pengusaha bergantung kepada pekerja asing. Selagi belum tular, siapa yang tahu.

Mengakui hakikat tersebut, Pakar Perubatan Kesihatan Awam (Epidemiologi dan Biostatistik), Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan, Universiti Putra Malaysia (UPM), Prof. Madya Dr. Malina Osman berkata, pekerja asing memang sebahagiannya tidak terdedah dengan standard penyediaan makanan yang betul.

Katanya, lebih mem­burukkan ke­ada­an apabila terdapat beberapa pengusaha tidak memberi penekanan soal pengendalian makanan yang betul terhadap pekerjanya kerana beberapa faktor antaranya disebabkan mengambil pekerja tanpa mengikut saluran sah.

Bagi beliau, hal ini memang membimbangkan dan mengikut kajian dan pemerhatian yang telah dijalankannya di sekitar Kajang, Serdang dan Bangi, lebih separuh pekerja di premis menjual makanan adalah pekerja asing.

“Kerajaan memang sudah mempunyai sistem pengendalian makanan yang teratur apabila peniaga perlu membawa bersama kesemua pekerjanya untuk mengikuti kursus pengendalian makanan dan mendapatkan suntikan yang menjadi syarat lesen.

“Namun begitu, mengikut kepada pengalaman saya, ada beberapa pemilik premis ini yang culas dengan tidak membawa pekerja mereka mengikuti kursus pengendalian makanan disebabkan ketiadaan dokumen pekerjaan yang sah dan sebagainya,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.

Kelmarin, sebuah tempat penyediaan sate tulang popular di Seremban yang didapati kotor dikatakan dikendalikan oleh seorang wanita warga Indonesia dan beberapa pekerja dari negara tersebut.

Kes melibatkan soal kebersihan premis menjual makanan sehingga dipaksa tutup buat se­mentara waktu tular sejak beberapa bulan lalu termasuk Res­toran Raj’s Banana Leaf di Bangsar apabila video pekerjanya mencuci pinggan menggunakan lopak air tersebar di media sosial.

Dr. Malina menambah, ku­rang­nya penumpuan terhadap isu kebersihan dan keselamatan ma­kanan boleh membuatkan premis tersebut dijangkiti kuman atau bakteria sehingga boleh membawa maut.

“Pada pandangan saya, semua ini berbalik kepada tanggungjawab pengendali makanan itu. Sangat penting untuk pastikan perkara sedemikian tidak berulang. Mereka perlu mempunyai sentimen ibarat menyediakan makanan untuk keluarga mereka sendiri di samping memperoleh sumber pendapatan semata-mata,” ujar beliau.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×