Langgar lari jadi kes bunuh - Utusan Malaysia

Langgar lari jadi kes bunuh

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEPANG 23 Okt. – Kes langgar lari di hadapan bangunan Shaftbury Square, Cyberjaya di sini sehingga menyebabkan kematian seorang kakitangan Telekom Malaysia Bhd. (TM) Unifi memasuki episod baharu apabila ketiga-tiga suspek warga asing terbabit kini disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.

Bagi membantu siasatan ter­sebut, Majistret Yusna Khadijah Md. Yusop membenarkan permohonan polis untuk menahan reman ketiga-tiga suspek yang merupakan penuntut di sebuah universiti antarabangsa di Cyberjaya selama lima hari mulai hari ini.

Suspek utama warga Libya dan dua rakannya yang juga warga Libya dan Yemen sebelum itu dibawa Mahkamah Majistret Sepang di sini pada pukul 9.10 pagi dengan tangan bergari dan memakai pakaian lokap berwarna jingga.

Memuatkan artikel berkaitan…

Suspek utama berusia 23 ta­hun merupakan pemandu ken­deraan yang terlibat dalam kemalangan itu manakala dua rakannya dipercayai bersubahat menyembunyikan suspek utama selepas kejadian berlaku.

Suspek utama sebelum ini direman selama lima hari bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 manakala dua rakannya masing-masing berusia 20 dan 22 tahun direman empat hari yang berakhir semalam.

Yang turut direman adalah seorang wanita tempatan berumur 32 tahun, namun telah dile­paskan Ahad lalu.

Pada Khamis lalu, empat individu ditahan dan kemudiannya direman bagi membantu siasatan kes langgar lari sehingga menyebabkan Wan Amirah Wan Alias, 31, yang merupakan Penolong Pengurus GTM Event Sales meninggal dunia pada 17 September lalu.

Dalam kejadian tersebut, Wan Amirah cedera parah selepas dirempuh dan diseret dengan sebuah kereta jenis Hyundai bernombor pendaftaran BHS 7999 dan mangsa kemudian dibawa ke Hospital Putrajaya untuk menerima rawatan sebelum disahkan meninggal dunia tidak lama selepas itu.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini