PULAU PINANG 22 Okt. – Operasi pencarian mangsa yang terlibat dalam tragedi tanah runtuh di Bukit Kukus, Relau di sini, yang memasuki hari keempat hari ini telah meliputi hampir 80 peratus kawasan yang dikenal pasti terjejas.
Timbalan Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat negeri, Mohamad Shoki Hamzah berkata, tumpuan utama pencarian ketika ini adalah untuk mengesan dua lagi warga Bangladesh yang dipercayai masih hilang.
“Setiap kawasan terlibat kita akan korek sampai ke dasar sebab kita mahu cari betul-betul sampai jumpa mangsa,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.
Dalam perkembangan berkaitan, beliau turut menggesa waris supaya melaporkan kehilangan saudara-mara mereka yang tinggal dan bekerja di lokasi kejadian dengan segera.
Katanya, laporan tersebut akan memudahkan kerja-kerja mengesan mangsa memandangkan jumlah sebenar mereka yang terlibat masih belum dapat disahkan setakat ini.
Ketika ini, lapan telah disahkan terkorban, empat cedera dan sekurang-kurangnya dua lagi masih hilang dalam tragedi itu yang berlaku pukul 2 petang Jumaat lalu. – UTUSAN ONLINE











