Rakan seangkatan sumber ilmu - Utusan Malaysia

Rakan seangkatan sumber ilmu

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Lebih 23 tahun bergelar penyanyi, graf perjalanan seni pemilik nama Rohaizah Nordin ini tidak selamanya bergaris di atas. Dalam meniti turun naik laluan karier, tidak terdetik rasa putus asa dalam hatinya.

Malah berkat semangat dan kerja kerasnya mencari rezeki dalam bidang seni yang dijadikan periuk nasi, nama Haiza tidak pernah hilang walaupun ada ketikanya seperti kurang disebut-sebut.

Justeru, tatkala bercerita mengenai trend penyanyi-penyanyi yang sudah lama menghilang dan kini muncul kembali, Haiza tidak pernah menjadikan situasi tersebut sebagai halangan kepadanya untuk mengorak langkah.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Saya rasa situasi tersebut amat menyeronokkan. Apabila lebih ramai artis lama yang aktif kembali, saya gembira dapat berjumpa mereka. Sebab itulah saya sangat mengalu-alukan semua artis lama yang ingin kembali memeriahkan industri.

“Saya tidak nampak itu sebagai satu saingan atau perlawanan dalam mengejar rezeki. Saya lebih suka menganggap mereka sebagai anak seni yang selayaknya dijadikan panduan.

“Mereka adalah orang yang mempunyai banyak pengalaman walaupun industri muzik dunia telah mengalami banyak perubahan. Bagi saya, kehadiran mereka dapat memberi semangat baru kepada penyanyi sama ada baharu atau lama yang kini sedang berjuang dalam industri,” jelasnya.

Dengan nilai positif yang sentiasa melingkari hidupnya, Haiza yakin itu salah satu faktor yang memungkinkan dia terus bertahan dalam mengharungi perjalanan seni ini.

“Sejak awal pembabitan sebagai penyanyi, saya selalu sematkan dalam diri supaya tidak perlu ada buruk sangka atau iri hati dengan kejayaan orang lain.

“Saya yakin, semua orang mempunyai rezeki masing-masing selayaknya dengan usaha dan kerja keras mereka. Kalau ada terdetik rasa negatif terhadap orang lain, itu adalah perkara yang tidak sihat.

“Dalam soal ini, sebenarnya bagi saya, kalau ada kawan-kawan lama yang ingin kembali atau ada bakat baharu yang muncul, sebenarnya itu salah satu cara untuk mengukuhkan lagi kedudukan saya.

“Kemunculan mereka membakar semangat dalam diri saya untuk terus melakukan yang terbaik agar saya dapat berjalan seiringan,” ujarnya.

Masih berbicara soal populariti sebagai penghibur, Haiza mengakui, dirinya sentiasa berpegang kepada satu prinsip iaitu melebihkan kualiti dalam setiap perkara.

Bagi penyanyi yang popular menerusi lagu dangdut Dag Dig Dug ini, meraih populariti sahaja tidak mampu membawa seseorang itu ke mercu kejayaan yang boleh bertahan lama.

“Populariti bukan keutamaan saya. Ini kerana popular itu tidak mampu bertahan lama. Ini adalah satu situasi yang berlangsung sekejap sahaja kerana sering kali bersifat bermusim.

“Sebaliknya kualitilah yang akan membuatkan orang bercerita mengenai sesuatu perkara itu sampai bila-bila. Contohnya, lagu-lagu nyanyian penyanyi lama yang masih lagi menjadi siualan masa kini.

“Ini adalah lagu malar segar yang kita tidak boleh nafikan kehebatan kualitinya sama ada dari segi muzik, lirik atau persona penyanyi itu sendiri,” ungkapnya.

Impi ke Indonesia 

Menyelami hasrat hati ibu kepada seorang cahaya mata ini, Haiza mengakui, dia pernah dan masih menyimpan impian untuk melebarkan sayap ke negara jiran, Indonesia.

Melihat beberapa orang penyanyi dangdut tempatan yang kini galak mencipta nama di sana, Haiza juga tidak mahu ketinggalan.

Bagaimanapun Haiza sedar akan hakikat bahawa bukan mudah untuk memasuki pasaran muzik Indonesia yang lebih besar skalanya berbanding Malaysia.

“Bukan tiada impian untuk saya masuk ke pasaran muzik di sana. Perkara normal bagi setiap penyanyi ingin meluaskan lagi perjalanan karier.

“Saya juga begitu, apatah lagi selepas menyaksikan kejayaan beberapa orang rakan artis yang pernah dan sedang berjuang di sana.

“Namun saya sedar belum waktu dan rezeki untuk saya menyertai mereka. Ini kerana itu bukan satu tugas yang mudah.

“Setiap kali bertanya kepada mereka yang berkenaan, mereka tidak lokek berkongsi dan menjelaskan bahawa sangat sukar untuk menempa nama di sana,” ujarnya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini