Aktif lakukan kerja khidmat masyarakat - Utusan Malaysia

Aktif lakukan kerja khidmat masyarakat

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KEPRIHATINAN rakyat Malaysia dalam membantu golongan kurang bernasib baik sepatutnya dipuji. Banyak kerja khidmat sosial dijalankan bagi mengumpul sumbangan membantu golongan ini.

Bukan sahaja daripada orang perseorangan, persatuan, dan pertubuhan bukan kerajaan, bahkan korporat dan syarikat-syarikat perniagaan turut mengorak langkah bagi mengumpulkan sumbangan.

Loka Malaysia tidak ketinggalan turut serta melakukan kerja-kerja khidmat masyarakat bagi membantu golongan yang tidak berkemampuan dan susah.

Memuatkan artikel berkaitan…

Beroperasi di pusat beli-belah bertaraf empat bintang, iaitu Nu Sentral, Loka merupakan lokasi paling strategik bagi usahawan menempatkan dan mempamerkan produk mereka.

Selain menjual produk-produk seperti barangan kecantikan dan kesihatan, pakaian wanita, lelaki, kanak-kanak dan bayi, aksesori dan sebagainya, Loka berjaya mengubah persepsi pelanggan bahawa lokasi ini bukan semata-mata berniaga tetapi juga ‘memberi’ kepada yang memerlukan.

Menurut Pengarah Pemasaran Loka Malaysia, Juliahayyu Mohamad, 37, syarikat ini mempunyai hubungan yang akrab dengan Pertubuhan Kebajikan Nur Hati, Selangor dan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur.

“Sejak Loka ditubuhkan pada Mei lalu, kami merupakan keluarga angkat kepada pertubuhan kebajikan ini yang menempatkan warga emas, ibu tunggal daripada mangsa dera, cerai dan pelbagai masalah lain, anak yatim, remaja bermasalah dan anak tidak sah taraf.

“Pertubuhan ini merupakan badan bukan kerajaan (NGO) yang berdikari dan tidak mendapat sumbangan daripada pihak kerajaan.

“Mereka berusaha sendiri bagi mendapatkan wang untuk membiayai pengurusan rumah, makan minum, lampin bayi, susu, pakaian dan sebagainya untuk penghuni.

“Prihatin dengan masalah mereka, setiap bulan Loka akan mengadakan acara jualan garaj bagi mengumpul sumbangan yang akan didermakan kepada Pertubuhan Kebajikan Nur Hati ini, yang tidak mempunyai pendapatan bulanan tetap.

“Tujuan aktiviti ini diadakan adalah sebagai salah satu kerja amal dan usaha untuk mendekatkan usahawan dengan masyarakat,” kata Juliahayyu semasa ditemui di Loka baru-baru ini.

Tambahnya, di Loka, ramai selebriti dan usahawan baharu menjual produk terpakai atau preloved mereka yang berkualiti dan berjenama pada acara jualan garaj. Ini termasuk pakaian, kasut, beg tangan, aksesori dan sebagainya.

Selebriti-selebriti ini merupakan daya tarikan kepada orang ramai untuk turut datang membantu.

Mereka akan menghebahkan kepada peminat dan masyarakat tentang acara tersebut yang diadakan pada Jumaat, Sabtu dan Ahad setiap hujung bulan.

Usahawan dan selebriti yang terlibat dengan acara jualan garaj ini tidak dikenakan bayaran kerana mahu menggalakkan mereka sama-sama melibatkan diri dengan kerja-kerja kemasyarakatan.

“Sebanyak 20 peratus daripada hasil jualan akan disumbangkan kepada Pertubuhan Kebajikan Nur Hati dan badan kebajikan lain yang terpilih. Walaupun tidak dalam jumlah yang besar, kami sangat gembira kerana dapat membantu.

“Jualan amal ini diadakan bermula pukul 10 pagi hingga 10 malam,” jelas Juliahayyu lagi.

Katanya, di Loka Malaysia juga terdapat ruang pengurusan acara bagi membantu usahawan dengan pelbagai aktiviti dan pelan pemasaran yang telah dirangka.

Ruang tersebut turut menjadi platform bagi kegiatan khidmat kemasyarakatan yang diadakan pada setiap bulan.

Menerusi program pembangunan usahawan dan beberapa konsep perniagaan, serta khidmat nasihat ini, ramai usahawan bumiputera terutama yang baru berniaga, dibimbing agar dapat membina platform dagang dalam talian atau e-dagang sendiri untuk menawan pasaran Asia dan global.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini