Amal jamu kerana keluarga mentua - Utusan Malaysia

Amal jamu kerana keluarga mentua

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Setelah mendirikan rumah tangga dengan jejaka asal Indonesia, Aga Dwisaputera Soepie, enam tahun lalu, Leeza Buniran, 33, pernah skeptikal dengan pendapat suaminya mengenai rutin pengambilan jamu.

Mengikut resam turun-temurun keluarga suaminya, mereka ‘diwajibkan’ mengamalkan pengambilan jamu dari usia kecil sehingga meningkat dewasa, supaya tubuh bertenaga, memudahkan mereka bergerak dan aktif dalam kehidupan seharian.

Bagaimanapun, dia sama seperti wanita-wanita Malaysia lain yang jarang diberi pendedahan tentang khasiat jamu dan sentiasa beranggapan rasa jamu pahit serta tidak enak.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Ketika pada awal perkahwinan saya terkejut apabila diberitahu seluruh keluarga mentua, termasuk suami dan bapa mentua, mengamalkan minum jamu setiap hari.

“Suami juga memujuk untuk ambil tahu tentang jamu kerana telah terbukti manfaatnya sejak sekian lama. Macam rasa tak kena pula jika saya seorang sahaja tak ambil, jadi mahu tidak mahu saya cuba untuk turut sama mengamalkan walaupun terpaksa.

“Untungnya, keluarga mentua membancuh sendiri ramuan jamu menggunakan resipi tradisi keluarga. Jadi, mereka sesuaikan dengan tekak saya kerana jamu mempunyai pelbagai kekuatan rasa dan tekstur, tetapi manfaatnya tetap sama.

“Lama-kelamaan saya dapat mendisiplinkan diri untuk mengamalkan pengambilan jamu,” katanya ketika ditemui di kediamannya baru-baru ini.

Menurut Leeza, apabila sudah membiasakan diri dengan jamu dan melihat sendiri keberkesanan terhadap kesihatan luaran dan dalaman, dia mula mencuba pelbagai jenis jamu yang dibeli dari Indonesia.

Bukan itu sahaja, dia juga mahu rakan-rakan turut merasai sendiri kebaikan amalan jamu kerana sebahagian masyarakat mengambil sikap sambil lewa soal kesihatan dalaman badan.

Jadi, dia memilih untuk berkongsi tentang khasiat jamu dalam laman sosialnya.

Perkongsiannya sedikit sebanyak membuka mata rakan-rakannya untuk turut mencuba jamu.

“Saya mendapat idea untuk membuat sendiri jamu dan menjualnya kepada rakan-rakan terdekat.

“Lagipun, saya tahu kebanyakan jamu yang ada di pasaran agak pekat dan mempunyai rasa pahit atau kelat, jadi saya olah kembali ramuan asli jamu tradisi keluarga mentua supaya boleh diamalkan berterusan, meskipun bagi mereka yang belum pernah mencuba jamu.

“Saya hanya menggunakan ramuan asas yang ada di dapur seperti kunyit, asam Jawa dan gula Melaka, tanpa sebarang bahan pengawet. Ia kemudian dibotolkan dan sambutan yang diterima sangat menggalakkan,” katanya yang mengusahakan jamu bersama kakak iparnya, Vina Apriliyanti Soepie menerusi Instagram @jamu.sarisihat.

Ujar Leeza lagi, tradisi mengamalkan jamu dibawa dari generasi ke generasi sehingga dikenali sebagai budaya asli Indonesia untuk menjaga kesihatan, meningkatkan daya tahan tubuh, membantu merawat penyakit dan kecantikan dalaman serta luaran.

Menerusi perniagaan itu dia mahu mendidik gadis-gadis muda supaya mengambil jamu untuk jaminan kesihatan dan kekuatan tubuh badan untuk menginjak usia dewasa kelak untuk kekal sihat, bertenaga, dan awet muda.

Katanya, Jamu Sari Sihat yang dibuat sedia untuk diminum sebagai sumber tenaga harian, rasanya yang sedikit masam dan manis menjadikannya seakan-akan minuman jus.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini