JOHOR BAHRU 21 Okt. – Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim membuat kejutan apabila melawat klinik pakar di Hospital Sultanah Aminah (HSA) di sini baru-baru ini.
Putera sulung Sultan Johor itu beramah mesra dengan pesakit dan pelawat selain melihat sendiri kemudahan, infrastruktur, prasarana dan fasiliti di hospital berkenaan.
Tunku Mahkota Johor turut menyampaikan sumbangan kurnia kepada pihak HSA dengan diiringi Pengarah Kesihatan Johor, Dr. Selahuddeen Abd. Aziz.
Berita berkaitan:
Beliau ketika ditemui berkata, pihaknya menjunjung kasih atas kesudian Tunku Ismail ke HSA yang disifatkan amat prihatin terhadap perkhidmatan kesihatan di negeri ini.
“Sebelum ini Tunku Mahkota Johor selalu juga melawat hospital untuk melihat fasiliti dan layanan kepada pesakit.
“Perkara ini bukanlah satu perkara yang baru dan semasa kebakaran (HSA) pun Tunku Mahkota Johor dan Sultan Johor amat prihatin dan telah memastikan bahawa perkhidmatan kesihatan di negeri Johor diteruskan dan memberi bantuan,” katanya.
Tunku Ismail menerusi tulisan dalam twitternya kelmarin, memohon kerajaan mempertimbang untuk menambah baik perkhidmatan kesihatan di negeri ini berbanding merancang membina semula jambatan bengkok.
Beliau berpendapat, lebih baik kerajaan tambah peruntukan perkhidmatan kesihatan termasuk membina Hospital Pasir Gudang seperti yang ditangguhkan ketika ini.
Selain itu, Tunku Ismail dalam Facebook rasminya HRH Crown Prince of Johor baru-baru ini mahu Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Alam Sekitar dan Pertanian negeri, Dr. Sahruddin Jamal memantau semua hospital serta pasar-pasar awam di seluruh Johor.
Dalam tulisan itu juga memberitahu Tunku Mahkota Johor sendiri akan memantau segala-galanya dan turut menyatakan perancangan untuk mengadakan hab perubatan di Johor serta membina lebih banyak hospital agar dapat mengurangkan kesesakan pesakit.
Selahuddeen berkata, ketika lawatan, Tunku Ismail mahu mengetahui masalah di HSA terutama membabitkan kesesakan selain melihat sendiri kekurangan di hospital itu.
“Juga telah memberi (kurniaan) sumbangan peribadi kepada tiga hospital iaitu HSA, Hospital Kulai dan Hospital Kota Tinggi. Ini merupakan sumbangan peribadi Tunku Mahkota Johor bagi membeli sedikit peralatan untuk pesakit,” katanya.











