KUANTAN 21 Okt. – Akibat terperdaya dengan panggilan Macau Scam, seorang pesara guru wanita berusia 56 tahun terpaksa berputih mata apabila wang simpanannya berjumlah RM57,000 lesap ditipu sindiket berkenaan.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial negeri, Superintenden Mohd. Wazir Mohd. Yusof berkata, kejadian Jumaat lalu itu berlaku apabila mangsa dari daerah ini menerima panggilan daripada seorang lelaki mendakwa pegawai dari Public Bank Kuala Lumpur.
Menurutnya, lelaki berkenaan mendakwa mangsa membuat pinjaman peribadi berjumlah RM70,000 dan mempunyai tunggakan selama tiga bulan.
“Mangsa menafikannya dan selepas itu disambungkan kepada seorang ‘pegawai polis’ di Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) Seremban bernama Inspektor Ridhuan yang mendakwa mangsa terlibat dengan kes pengedaran dadah.
“Pegawai polis itu turut mendakwa aset mangsa akan disita dan dikehendaki memindahkan kesemua wang simpanannya ke akaun audit yang diberikan oleh suspek,” katanya di sini hari ini.
Mohd. Wazir memberitahu, mangsa memindahkan wang simpanannya ke dalam dua akaun diberikan suspek menjadikan jumlah keseluruhan sebanyak RM57,000.
“Bagaimanapun, mangsa membuat laporan di IPD Kuantan di sini setelah merasakan ditipu apabila suspek memintanya menambah bayaran,” katanya.
Tambah Mohd. Wazir, kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 10 tahun dan sebat serta boleh dikenakan denda jika sabit kesalahan.











