KUALA LUMPUR – Kementerian Pengangkutan tiada rancangan untuk menggantikan perkhidmatan bas perantara dengan perkhidmatan e-panggil di stesen-stesen MRT.
Menterinya, Anthony Loke menyifatkan pengumuman oleh setiausaha politik Menteri Kewangan Tony Pua, mengenai perkara itu adalah sebagai pandangan peribadi beliau semata-mata.
“Bagi pihak kementerian, kami tiada rancangan untuk menghentikan perkhidmatan bas perantara itu buat masa ini,” katanya kepada pemberita di lobi Parlimen di sini hari ini.
Anthony menambah, kementerian sedang mengkaji untuk mengintegrasikan perkidmatan itu dengan perkhidmatan bas yang lain dan berharap dapat mengeluarkan pas bulanan bagi perkhidmatan itu secepat mungkin.
Dilaporkan para pengusaha syarikat teksi tidak berpuas hati dengan pengumuman Pua yang mengatakan kerajaan sedang berunding dengan syarikat e-panggil Grab untuk menyediakan perkhidmatan kepada pengguna MRT. – Bernama











