KUALA LUMPUR 24 Ogos – Sebanyak 22 ekor lembu dan 100 kambing dikorbankan dan dagingnya diagihkan kepada kira-kira 11,000 rakyat Tanzania di dua daerah di negara itu sempena Hari Raya Aidiladha.
Ibadah korban dan akikah sumbangan rakyat Malaysia dan Singapura itu dilaksanakan menerusi Malaysian Humanitarian Aid And Relief (Mahar) dengan kerjasama Alumni MYCorps Afrika, Islamic Help serta Muzdalifah Islamic Charitable Organization di Tanga dan Zanzibar.
Pengerusi Mahar, Jismi Johari berkata, sumbangan tersebut merupakan kesinambungan kepada program sama yang berjaya dijalankan pada 2017 di daerah terpencil di Satkhira, Bangladesh.
Menurutnya, Tanzania khususnya Tanga dipilih untuk pelaksanaan ibadah korban dan akikah anjuran Mahar tahun ini kerana ia merupakan antara negara termiskin di dunia.
“Berdasarkan satu laporan yang dikeluarkan oleh Focus Economics pada Mac 2018, Tanzania diletakkan di tangga kesembilan paling miskin di dunia dengan pendapatan per kapita negaranya pada 2016 sekadar USD976 dan diunjurkan USD1,112 pada tahun ini.
“Tanga merupakan daerah majoriti Muslim di tengah-tengah komuniti majoriti bukan Islam di tanah besar Tanzania. Tanga terbahagi kepada lapan daerah dengan 90 peratus daripada 3.5 juta penduduknya adalah beragama Islam.
“Sebagaimana keseluruhan penduduk Tanzania yang hidup di bawah garis kemiskinan, masyarakat Muslim di Tanga juga merasai kedaifan yang dialami majoriti besar warganya,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Beliau menambah, Zanzibar pula dipilih kerana majoriti penduduk Muslim di sana adalah miskin tegar, hanya berpendapatan RM4 ringgit sehari.
Jelasnya, selain tidak mampu membayar bil elektrik, ketidakupayaan membeli makanan telah membawa kesan sampingan seperti penyakit gastrik dan malnutrisi kepada kanak-kanak di daerah berkenaan.
Jismi memberitahu, bagi menjayakan misi itu, pihaknya telah membuat persiapan awal dengan memberi kesedaran tentang penduduk di Zanzibar kepada masyarakat umum di sini bahawa sikap dan akhlak rakyat Afrika tidak seperti yang digembar-gemburkan oleh banyak media massa.
Ujarnya, bagi meningkatkan kesedaran umum, beliau dan pasukannya telah menghabiskan kayuhan amal sepanjang 2,220 kilometer dari Kuching, Sarawak ke Tawau, Sabah pada April dan Mei lalu.
“Kami ingin mengucapkan ribuan terima kasih kepada rakyat Malaysia dan dari negara jiran di atas sambutan yang telah diberikan untuk menjayakan ibadah korban pada tahun ini,” katanya. – UTUSAN ONLINE











