PUTRAJAYA 15 Okt. – Kerajaan hari ini mengisytiharkan sudut merokok dan tempat makan di dalam bangunan Parlimen sebagai kawasan larangan merokok.

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr. Dzulkefly Ahmad berkata, mereka yang ingin merokok boleh berbuat demikian di luar bangunan Parlimen.
“Bagi perokok, mereka perlu merokok di luar bangunan Parlimen kerana di dalam bangunan tiada lagi kawasan untuk merokok,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Majlis Perjumpaan Bulan Oktober Kementerian Kesihatan 2018, di sini hari ini.
Dalam perkembangan lain, Dzukefly memberitahu, kementeriannya dijangka dapat mengekalkan peruntukan sejumlah RM27 bilion iaitu sembilan peratus daripada keseluruhan Bajet 2019.
Walau bagaimanapun katanya, kementerian telah membentangkan cadangan kepada Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad untuk mewujudkan Amanah Pelaburan Hartanah Islam dalam usaha menambah peruntukan untuk kementerian tersebut.
“Cadangan itu telah dibentangkan kepada Perdana Menteri dan beliau meminta kami menyatakan cadangan tersebut kepada Majlis Penasihat Ekonomi Negara dan Kementerian Kewangan,” katanya.-UTUSAN ONLINE











