PASIR PUTEH – Lepasan Sijil Tinggi Ugama (STU) atau Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM) yang gagal memohon lebih 300 kekosongan jawatan guru Kelas Al-Quran dan Fardu Ain (KAFA) masih berpeluang memohonnya bagi pengambilan tahun depan di Kelantan.
Pengerusi Jawatankuasa Portfolio Pendidikan dan Pelajaran Tinggi dan Hal-Ehwal Islam Pakatan Harapan (PH) Kelantan, Datuk Kamaruddin Mohd. Noor berkata, mereka boleh mendapatkan borang berkenaan di Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) yang berdekatan dalam tempoh terdekat.
“Jabatan Pembangunan Persekutuan (JPP) Kelantan yang dipertanggungjawab menyediakan borang itu sudah diarah supaya menambah borang dan mengedarnya segera kepada PPD,” katanya ketika ditemui pemberita di sini hari ini.
Beliau mengulas keluhan ramai lepasan STU dan STAM yang merasa kecewa apabila gagal memperoleh borang itu yang habis dalam tempoh tidak sampai sejam sebaik diedarkan bermula semalam di setiap PPD di negeri ini.
Kamaruddin yang juga Pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Kelantan berkata, JPP Kelantan telah membekalkan 100 borang bagi jawatan berkenaan ke setiap PPD sebelum ini namun disebabkan sambutannya di luar dugaan borang berkenaan habis dalam tempoh yang singkat.
“Pihak kami mahu berlaku adil dan memberi peluang seluas-seluasnya kepada mereka yang layak agar memohon jawatan itu tanpa memilih kasih,” katanya.
Katanya, antara kriteria bagi memohon jawatan sebagai guru KAFA, pemohon perlu mempunyai kelulusan kedua-dua sijil itu serta kredit Bahasa Melayu dan Bahasa Arab. – Bernama











