PASIR PUTEH 15 Okt. – Lepasan Sijil Tinggi Ugama (STU) dan Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM) masih berpeluang untuk memohon jawatan guru Kelas al-Quran dan Fardu Ain (KAFA) di negeri ini biarpun borang permohonan yang dikeluarkan baru-baru ini telah habis.

Pengerusi Jawatankuasa Portfolio Pendidikan dan Pelajaran Tinggi dan Hal-Ehwal Islam parti Pakatan Harapan (PH) negeri, Datuk Kamaruddin Md. Noor berkata, Jabatan Pembangunan Persekutuan (JPP) telah diarahkan supaya menyediakan borang tambahan bagi menampung jumlah permintaan yang mendadak.
“emohon boleh mendapatkan borang permohonan yang berkaitan di semua Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) yang berdekatan dalam tempoh terdekat.
“Jabatan Pembangunan Persekutuan (JPP) dipertanggungjawabkan menyediakan borang itu sudah diarah supaya menambah dan menyediakan borang permohonan bagi jawatan itu dengan mencukupi dan mengedarnya segera ke semua PPD,” katanya kepada pemberita ketika ditemui di sini, hari ini.
Beliau berkata demikian sebagai mengulas rungutan ramai lepasan STU dan STAM kecewa apabila gagal memperoleh borang itu yang habis dalam tempoh tidak sampai sejam sebaik diedarkan di semua PPD di negeri ini semalam.
Kamaruddin yang juga Pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) negeri berkata, JPP telah membekalkan 100 borang ke setiap PPD sebelum ini namun disebabkan sambutannya di luar jangkaan menyebabkan borang berkenaan habis dalam tempoh yang singkat.
“Kami mahu berlaku adil dan memberi peluang seluas-seluasnya kepada pemohon yang layak untuk jawatan berkenaan tanpa pilih kasih,” katanya.
Katanya, selain mempunyai kelulusan kedua-dua sijil itu mereka juga mestilah kepujian Bahasa Melayu dan Bahasa Arab untuk melayakkan mereka mengisi lebih 300 kekosongan tenaga pengajar kelas KAFA di negeri ini. – UTUSAN ONLINE











