JOHOR BAHRU – Tindakan pantas seorang jiran selepas mendengar jeritan meminta tolong dapat menyelamatkan lima beradik daripada rentung dijilat api dalam kebakaran sebuah rumah teres dua tingkat di Jalan Berlian 10, Taman Nora, Ulu Tiram di sini semalam.
Dalam kejadian pukul 11 pagi itu, seorang kanak-kanak, Mohd. Firdaus M. Nasir, 5, dan kakaknya berusia tujuh tahun melecur pada muka dan mereka kini dirawat di Hospital Sultan Ismail di sini.
Tiga lagi beradik mereka iaitu Mohd. Faris, 6, Aulia, 3, dan Mohd. Firah setahun enam bulan turut cedera dan dirawat di hospital sama.
Menurut wanita berusia 40-an yang menyelamatkan lima beradik itu, ketika kejadian dia yang sedang memasak di dapur terkejut apabila terhidu bau hangit selain mendengar jeritan kanak-kanak tersebut meminta tolong.
“Saya terus bergegas keluar rumah dan mendapati asap tebal keluar dari tingkap bahagian atas rumah jiran saya itu dan tanpa berfikir panjang saya terus memasuki rumah tersebut.
“Saya mendapati ibu bapa kanak-kanak itu sedang tidur di ruang tamu. Saya kemudiannya mengejutkan mereka sebelum ibu bapa kanak-kanak itu menyelamatkan anak-anak mereka yang berada di bilik tingkat atas rumah,” katanya yang enggan dikenali ketika ditemui semalam.
Ikuti berita selanjutnya di KOSMO! hari ini.










