Leishman rangkul AS$1.26 juta - Utusan Malaysia

Leishman rangkul AS$1.26 juta

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PEMAIN golf Australia, Marc Leishman membuktikan dirinya berada dalam kelas tersendiri apabila meninggalkan tiga pesaing terdekatnya dengan kelebihan lima pukulan untuk muncul sebagai juara Kejohanan CIMB Classic 2018 di TPC, Kuala Lumpur semalam.

Leishman berjaya mengatasi Emiliano Grillo, Chesson Hadley dan Bronson Burgoon, sekali gus menghasilkan catatan ke­seluruhan 26 di bawah par 262 pukulan dan dinobatkan sebagai juara pertama yang bukan dari Amerika Syarikat.

Pemain No. 24 dunia itu me­ngakui gembira kerana dapat mengelak daripada tekanan psikologi oleh para penonton tempatan yang rata-rata tampil menyokong pemain dari India, Shubhankar Sharma untuk bergelar juara Asia pertama.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Sebagai warga Australia yang bermain pada Jelajah PGA, saya sudah biasa dengan keha­diran penonton yang tidak menyokong saya. Namun, itu merupakan aspek yang menguatkan lagi semangat saya untuk me­lakukan aksi terbaik.

“Keadaan lapangan golf ini juga banyak membantu saya. Kunci saya pada minggu ini adalah pastikan bola jatuh di fairways. Apabila dapat membuat perkara demikian, senang untuk menghasilkan birdie.

“Kemenangan ini sangat bermakna setelah saya menghadapi kemarau gelaran musim ini. Saya harap tuah saya di sini akan diteruskan pada beberapa lagi kejohanan sebelum tamat hujung tahun ini,” katanya pada sidang akhbar sejurus selesai majlis penyampaian hadiah.

Leishman yang memegang status pendahulu pusingan ke­dua dan ketiga melakukan keseluruhan satu eagle, 28 birdie dan empat bogey untuk membawa pulang wang tunai AS$1.26 juta (RM5.23 juta) yang disampaikan oleh Pemangku Raja Pahang, Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah.

Selain hadiah wang tunai, pemain berusia 34 tahun tersebut turut membawa pulang trofi kejohanan iaitu Piala FedEX Jelajah PGA.

Sementara itu, pemain No. 4 dunia, Justin Thomas hanya menamatkan saingan di kedudukan kelima bersama Abraham Ancer, Charles Howell III, Gary Woodland dan Louis Oosthuizen, manakala juara bertahan, Pat Perez berkongsi kedudukan ke-63.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini