GUA MUSANG 14 Okt. – Lebih 300 penduduk Orang Asli suku kaum Batek di Kampung Aring 5, di sini, hidup dalam ketakutan apabila kawasan kebun dan penempatan mereka diganggu kira-kira 15 ekor gajah liar sejak tiga bulan lalu.

Gajah itu bukan sahaja memusnahkan tanaman pisang dan getah, tetapi juga berkeliaran di kawasan rumah penduduk kampung.
Seorang penduduk Orang Asli, Jamal Alias, 32, berkata, sejak kebelakangan ini, gajah tersebut kerap keluar daripada kawasan hutan berhampiran sehingga mereka terpaksa berjaga malam untuk mengawal keselamatan.
Katanya, Khamis lalu, pintu rumahnya juga hampir tercabut apabila diserang seekor gajah berkenaan dalam kejadian kira-kira pukul 3 pagi semalam.
“Kami sekeluarga terkejut apabila rumah terasa bergegar sebelum gajah terbabit beredar dari situ.
“Bagaimanapun kami bersyukur apabila sekumpulan gajah ini tidak bertindak ganas terhadap penduduk kampung dan hanya merosakkan tanaman,” katanya di sini hari ini.

Faizal Anjang, 30, berkata, mereka yang hanya bergantung kepada hasil tanaman pisang mengalami kerugian teruk kerana ancaman gajah.
Katanya, sekumpulan gajah terbabit memasuki kampung itu setiap hari sekitar pukul 1 pagi dan beredar memasuki semula kawasan hutan berhampiran kira-kira lima jam kemudian.
“Kami bersama penduduk lain terpaksa bergilir-gilir berjaga malam kerana bimbang gajah itu kembali menyerang rumah dan tanaman penduduk.
“Penduduk terpaksa bertindak sendiri untuk menghalau gajah dan menjaga keselamatan,” katanya.
Seorang lagi penduduk, Mohd. Fazli Mamok, 32, berharap agar Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) memantau keadaan di kampung mereka kerana sudah bertahun-tahun mereka menghadapi masalah ancaman gajah ini.
“Penduduk juga sudah takut untuk masuk ke hutan bagi mencari rezeki.
“Sebelum ini juga terdapat beberapa kejadian yang melibatkan kes kematian melibatkan serangan gajah dan haiwan liar lain di Kampung Aring 5,” katanya.











