SHAH ALAM 14 Okt. – PKR Cabang Serdang memberi sokongan kuat kepada Datuk Seri Mohamed Azmin Ali dalam usahanya mempertahankan jawatan Timbalan Presiden apabila memperoleh sebanyak 1,336 undi, mengalahkan lawannya Rafizi Ramli, dengan kelebihan 622 undi.
Rafizi pula yang mendapat dokongan penuh daripada Presiden, Datuk Seri Anwar Ibrahim bagi merebut jawatan nombor parti itu mendapat 714 undi.
Kemenangan tersebut menyaksikan Mohamed Azmin menguasai enam daripada keseluruhan sembilan cabang yang mengundi hari ini, iaitu Kota Raja; Sabak Bernam; Sungai Besar; Sepang; Subang serta Serdang, manakala Rafizi mencuri sokongan di cabang Kapar, Hulu Selangor dan Kelana Jaya.
Bagi jawatan Naib Presiden, PKR Serdang juga memilih calon daripada kem Mohamed Azmin dengan Dr. Xavier Jayakumar mendapat kedudukan pertama apabila memperoleh 1,087 undi diikuti Zuraida Kamaruddin ( 703 undi) di tempat kedua dan Tian Chua (457 undi) di kedudukan ke empat.
Hanya S. Kesavan iaitu calon daripada kem Rafizi yang berjaya mengisi kedudukan ketiga dengan 675 undi dan anak kepada Anwar, Nurul Izzah sekadar ditempat kelima. – UTUSAN ONLINE











