33 PATI ditahan tidak miliki dokumen sah - Utusan Malaysia

33 PATI ditahan tidak miliki dokumen sah

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

LAHAD DATU 14 Okt. – Sebanyak 33 pendatang asing tanpa izin (PATI) ditahan dalam operasi bersepadu yang diselaraskan oleh Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (Esscom) di empat lokasi berasingan di sekitar daerah ini, pada Jumaat lalu.

Komander Esscom, Datuk Hazani Ghazali berkata, operasi yang bermula dari pukul 8 malam hingga 5 pagi itu disertai kira-kira 65 anggota penguat kuasa dengan memberi tumpuan terhadap kawasan ladang dan penempatan haram yang disyaki menjadi tempat persembunyian golongan terbabit.

Menurutnya, antara kawasan yang menjadi tumpuan termasuk Kampung Membantu, Kampung Manar dan Kampung Perpaduan (Bagahak) di daerah kecil Tungku dan kawasan bandar Lahad Datu.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Dalam operasi berkenaan, sebanyak 158 orang telah diperiksa dan daripada jumlah tersebut sebanyak 33 orang disyaki PATI ditahan kerana tidak mempunyai sebarang dokumen pengenalan diri yang sah atau meragukan termasuk mempunyai dokumen tamat tempoh.

“Mereka yang ditahan terdiri daripada 30 warga Filipina dan 3 warga Indonesia yang berusia antara 10 hingga 50 tahun,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Hazani menambah, kesemua tahanan telah dibawa ke Pangkalan Polis Marin (PPM) untuk tapisan keselamatan sebelum dibawa ke Pusat Tahanan Sementara (PTS) Tawau, dekat sini untuk proses penghantaran ke negara asal.

“Kes disiasat di bawah Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/61 (Pindaan 2002) dan Seksyen 15(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 (pindaan 2002)”, jelasnya. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini