KUANTAN – Kementerian Kesihatan Malaysia Pahang menyasarkan setiap hospital dan klinik kerajaan di negeri ini mempunyai sekurang-kurangnya seorang kaunselor paramedik pada masa akan datang.
Kaunselor paramedik yang terdiri daripada kalangan jururawat dan penolong pegawai perubatan merupakan perkhidmatan tambahan bagi membantu orang awam yang mengalami masalah psikiatri di peringkat awal.
Pengarah Kesihatan Negeri, Datuk Indera Dr. Sha’ari Ngadiman berkata, setakat ini seramai 18 kakitangan telah dilatih dan ditempatkan di Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) di sini dan beberapa klinik kesihatan di seluruh negeri.
“Setakat ini, kita telah menempatkan tiga kakitangan di HTAA dan selebihnya di klinik kesihatan sekitar daerah ini, Temerloh dan Jerantut.
“Kita masih melatih lebih ramai jururawat dan penolong pegawai perubatan untuk ditempatkan di Jabatan Pesakit Luar di semua hospital dan klinik kesihatan di negeri ini,” katanya ketika ditemui selepas merasmikan Hari Kesihatan Mental Peringkat Negeri Pahang di Universiti Islam Antarabangsa di sini hari ini.
Turur hadir, Timbalan Pengarah Kesihatan Negeri, Datuk Dr. Mohamed Sapian Mohamed, Ketua Perkhidmatan Psikiatri Negeri, Dr. Ahmad Zafri Abu Bakar dan Pengarah HTAA, Dr. Nor Azmi Abdullah.- K! ONLINE











