KLANG 14 Okt. – Kesesakan kini berlaku di pusat pengundian pemilihan PKR Cabang Kapar ekoran lokasi yang tidak strategik dan kekurangan komputer untuk e-voting.
Calon Ketua Cabang, Datuk Abdullah Sani Abdul Hamid berkata, kebanjiran ahli yang datang mengundi, laluan ke dewan mengundi hanya satu dan peralatan yang tidak mencukupi menjadi faktor utama kesesakan berlaku.
Menurutnya, pengundi terpaksa berjalan kaki kira-kira satu kilometer untuk ke dewan mengundi dan selepas itu terpaksa beratur panjang pula.
“Saya nampak ini faktor yang serius dan Jawatankuasa Pemilihan Pusat (JPP) sepatutnya turun padang dan kaji dulu sebelum proses pengundian dibuat.
“Komputer untuk mengundi hanya ada 120 unit sedangkan kita memerlukan lebih 200 komputer,” katanya kepada pemberita ketika di temui di pusat pengundian Kompleks Rakan Muda, Kampung Perepat di sini hari ini.
Untuk rekod, Cabang Kapar mempunyai 19,578 ahli yang layak mengundi dalam pemiliham PKR kali ini.
Abdullah Sani yang juga Ahli Paelimen Kapar dan calon Majlis Pimpinan Pusat (MPP) bagaimanapun memberitahu, secara keseluruhannya proses pengundian berjalan dengan baik. – UTUSAN ONLINE










