SABAK BERNAM – Pemilhan Parti Keadilan Rakyat (PKR) cabang Sabak Bernam hari ini sedikit kecoh apabila berlaku tolak menolak dan bertikam lidah antara perwakilan dan petugas di pintu masuk Dewan Tun Razak, Sabak Bernam di sini.
Kekecohan selama kira-kira 45 minit itu didakwa berpunca daripada perwakilan yang tidak berpuas hati apabila hanya 10 pengundi sahaja dibenarkan masuk ke dalam dewan dalam satu-satu masa.
Malah mereka juga melahirkan kekesalan apabila jawatankuasa pemilihan tidak menyediakan khemah untuk perwakilan berteduh sebelum masuk ke dewan.
Seorang perwakilan, Rosli Abdullah Sani, 51, berkata, perwakilan berang apabila hanya 10 orang sahaja dibenarkan masuk ke dewan pengundian, manakala yang lain terpaksa berpanas dan beratur panjang.
Menurutnya, keadaan itu mengundang rasa tidak selesa perwakilan terutama bagi Orang Kurang Upaya (OKU) dan warga emas.
“Saya sendiri menunggu dekat dua jam dari pukul 8 pagi dan pukul 11 baru dapat mengundi, kami di sini terpaksa menahan terik matahari tanpa disediakan khemah menunggu,” katanya ketika ditemui di sini hari ini.
Rosli berkata, dia kecewa apabila perwakilan tidak dilayan dengan baik petugas bertanggungjawab.
“Ikutkan hati saya nak balik saja dan pulang ke rumah. Lebih baik saya uruskan perniagaan daripada terpaksa beratur panjang,” katanya.
Seorang perwakilan, Harun Sam, 48, berkata, setiap kali pemilihan PKR cabang itu pastinya berlaku perkara sama dan sepatutnya sistem pemilihan parti itu bertambah baik bukannya menyusahkan perwakilan yang hadir untuk mengundi.
Sementara itu, Sarina Roni, 49, melahirkan rasa tidak berpuas hati dengan perjalanan pemilihan parti di cabang itu.
Katanya, dalam pertambahan jumlah ahli PKR, keadaan itu tidak sepatutnya berlaku.
“Kita cadang pasang saja khemah di dalam kawasan pengundian bagi mengelakkan berlaku kejadian tak diingini seperti pengsan, bergaduh dan sebagainya,” katanya.
Sementara itu, tinjauan dibuat mendapati, petugas pengundian telah mula meletakkan khemah di depan pintu pagar dewan itu kira-kira pukul 11.30 tengah hari.
Manakala, warga emas pula diasingkan di khemah berasingan sebelum mereka dibenarkan masuk ke pusat pengundian. – K! ONLINE










