ALOR SETAR – Sultan Kedah, Sultan Sallehuddin Ibni Almarhum Sultan Badlishah dan Sultanah Kedah, Sultanah Maliha Almarhum Tengku Ariff hari ini berangkat menyempurnakan Istiadat Siram Tabal di Dataran Kepala Tanjung, Istana Anak Bukit di sini.
Ia bersempena Istiadat Pertabalan Sultan Kedah Ke-29 yang dijadualkan berlangsung pada 22 Oktober depan di Istana Anak Bukit.
Turut berangkat Raja DiHilir Perak, Raja Iskandar Dzulkarnain ibni Almarhum Sultan Idris A’fifullah Shah dan isteri Raja Puan Muda Perak, Tunku Soraya Almarhum Sultan Abdul Halim Mu’adzam Shah; Tunku Laksamana Kedah Datuk Tunku Shazuddin Arif Ibni Sultan Sallehuddin; Tunku Temenggong Kedah Datuk Seri DiRaja Tan Sri Tunku Puteri Intan Safinaz Almarhum Tuanku Abdul Halim Mu’adzam Shah.
Selain itu, Tunku Bendahara Kedah Datuk Seri DiRaja Tan Sri Tunku Abdul Hamid Thani Ibni Almarhum Sultan Badlishah dan isteri Datin Seri Diraja Puan Seri Datuk Nora Abdullah serta Raja Muda Kedah Tengku Sarafudin Badlishah Ibni Sultan Sallehuddin dan Raja Puan Muda Kedah Che Puan Muda Zaheeda Mohamad Ariff.
Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Mukhriz Tun Dr. Mahathir dan isteri Tok Puan Norzieta Zakaria serta pemimpin-pemimpin kerajaan negeri yang lain juga turut hadir sama ke istiadat berkenaan. – Bernama











