KUALA LUMPUR 13 Okt. – Persatuan Badminton Malaysia (BAM) gembira dengan pencapaian cemerlang yang ditampilkan pemain perseorangan negara Goh Jin Wei yang meraih pingat emas dalam Sukan Olimpik Remaja 2018 dan kejayaan Lee Zii Jia muncul juara Siri Jelajah Dunia 300, Terbuka Taiwan.
Presidennya Datuk Seri Mohamad Norza Zakaria berkata, pencapaian cemerlang kedua-dua pemain itu membuktikan bahawa pelaburan badan induk sukan badminton negara itu ke atas pemain-pemain muda mula memberikan hasil positif.
“Ini adalah sesuatu yang sangat positif kepada sukan badminton negara kerana kita sudah mula nampak pulangan daripada pelaburan ke atas pemain-pemain muda dan diharap kejayaan ini akan diteruskan pada masa akan datang.
“Jin Wei menjadi atlet pertama negara meraih pingat emas dalam Sukan Olimpik Remaja (YOG) selepas memenangi Kejohanan Remaja Dunia pada 2015.
“Kami berharap, kejayaan Jin Wei ini akan menjadi inspirasi kepada dirinya sendiri untuk memburu pingat emas dalam Sukan Olimpik selain lebih banyak kejayaan di peringkat antarabangsa pada masa akan datang,” katanya dalam satu kenyataan, di sini hari ini.
Jin Wei mencipta sejarah apabila menjadi atlet pertama negara memenangi pingat emas dalam Sukan Olimpik Remaja yang kali ini berlangsung di Buenos Aires, Argentina dengan menundukkan pilihan kedua dari China, Wang Zhiyi 16-21, 21-13, 21-19.
Minggu lalu, Zii Jia menampilkan aksi cemerlang untuk merangkul kejuaraan pertamanya di peringkat antarabangsa di Taiwan dengan menundukkan Riichi Takeshita dari Jepun 21-17, 16-21, 21-11.
Dalam perkembangan berkaitan, Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman mengucapkan tahniah dan terima kasih di atas kejayaan Jin Wei mengharumkan nama Malaysia di pentas dunia.
“Pertama kali kita menang emas YOG menerusi sukan badminton. Perlawanan yang sungguh sengit, menang 2-1. Kita perlu memberikan pengiktirafan besar (kepada Jin Wei).
“Tadi, Perdana Menteri Tun Dr. Mahathir Mohamad juga sudah dimaklumkan tentang perkara ini dan beliau mengucapkan terima kasih kepada Jin Wei sebab melakar sejarah untuk Malaysia,” ujarnya dalam sidang akhbar sempena sambutan Hari Sukan Negara (HSN) peringkat kebangsaan 2018 di, Bukit Jalil hari ini.











