PADANG BESAR – Dua mati lemas apabila bot yang mereka naiki terbalik sebelum karam ekoran angin kencang dan hujan lebat dalam kejadian di Empangan Timah Tasoh di sini kira-kira pukul 3.30 petang tadi.
Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perlis berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung tragedi itu kira-kira pukul 3.58 petang sebelum bergegas ke lokasi kejadian.
“Mayat salah seorang mangsa yang lemas berjaya ditemui kira-kira pukul 6 petang sementara seorang lagi mangsa ditemui selang satu jam semasa operasi pencarian dilakukan.
“Operasi ini mengalami sedikit kesukaran kerana cuaca tidak menentu selain hujan lebat.
“Pencarian dilakukan dengan bantuan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Perlis dan polis,” katanya di sini hari ini.
Difahamkan kedua-dua mangsa dikenali sebagai Imran Afiq Ismail berusia 13 tahun dan Jumain Ingan, 60. Kedua-duanya berasal dari Beseri di sini.

Kedua-dua mayat dihantar ke Unit Forensik, Hospital Tuanku Fauziah (HTF) Kangar dekat sini untuk proses bedah siasat.
Kedua-dua mangsa dan mangsa yang terselamat Julfaezuan Jumain, 27, menaiki bot itu untuk menjala ikan di empangan itu.
Semasa kejadian hujan lebat diiringi angin kencang.
Dalam pada itu, mangsa yang terselamat, Julfaezuan Jumain, 27, berkata, dia tidak putus-putus berdoa supaya bapa dan sepupunya dapat ditemui.
“Saya redha dengan ketentuan Tuhan,” katanya ringkas ketika ditemui pemberita di lokasi kejadian.
Kedalaman air di empangan itu lebih lima meter.
Dalam perkembangan berkaitan, Ketua Polis Daerah Padang Besar, Pemangku Superintendan Muhamad Halim Yatim ketika dihubungi mengesahkan kejadian itu dan kes dikategorikan sebagai mati mengejut. – K! ONLINE











