KUALA LUMPUR 13 Okt. – Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak memohon sumbangan orang ramai bagi membantu menampung kos guaman yang terpaksa ditanggung oleh keluarganya berikutan beberapa tuduhan yang difailkan terhadap beliau dan isteri di mahkamah.
Menurut Najib, anaknya dengan kerjasama pertubuhan bukan kerajaan (NGO), Gerakan Belia Sejagat telah menubuhkan tabung dalam usaha mereka untuk menolong beliau.
Katanya, sumbangan itu juga akan digunakan untuk mempertahankan aktivis pengkritik kerajaan yang kini menerima tekanan dan tindasan daripada kerajaan untuk menutup mulut mereka termasuk seorang yang disaman oleh Syarikat Bekalan Air Selangor Sdn. Bhd. (Syabas) kerana mengeluarkan kenyataan mengkritik kerajaan negeri Selangor berikutan perkhidmatan air di kawasannya sering putus dan mungkin memberi kesan kepada kesihatan orang ramai.
“Secara jujurnya, kami mengalami tekanan kewangan akibat kos guaman dan ikat jamin yang tinggi. Setakat ini, kami memperoleh pertolongan daripada sahabat terdekat dan saudara-mara yang tampil ke depan untuk menolong tetapi jika boleh, kami tidak mahu membebankan mereka lagi.
“Jika tidak keterlaluan, sudilah jika ada kalangan saudara dan saudari yang ingin membantu dengan turut menyumbang ke tabung ini. Namun jika ada keutamaan lain yang mengikat kewangan anda, utamakanlah yang itu dahulu. Apapun, saya ucapkan jutaan terima kasih kepada semua yang sentiasa mendoakan kami sekeluarga,” katanya menerusi status dalam Facebook, hari ini. – UTUSAN ONLINE











