KUALA LUMPUR 13 Okt. – Selepas dua kali menjadi naib juara, pemain golf Amerika Syarikat (AS), Gary Woodland berazam untuk menamatkan saingan CIMB Classic 2018 selaku juara. Pemain yang berasal dari Topeka, Kansas berusia 34 tahun itu berkongsi kedudukan pendahulu hari ketiga di TPC Kuala Lumpur, Bukit Kiara, di sini bersama Marc Leishman dan S. Shunbankar selepas mengumpul 197 pukulan, 19 di bawah par secara keseluruhan. Dia mengakui sangat menggemari aksi di lapangan itu dengan menyifatkan lapangan itu sangat luar biasa selain bersesuaian dengan strategi permainannya. Katanya, lapangan itu juga sudah menjalani proses pengubahsuaian yang sangat menakjubkan dan berharap mampu meraih kejuaraan buat kali pertama di kejohanan itu. “Untuk menjadi juara, saya perlu melakukan banyak birdie. “Lapangan ini sangat baik, cuaca juga sesuai untuk kami semua dan jika semuanya sama seperti hari ini, kami semua perlu bermain dengan lebih agresif untuk mendapatkan birdie. “Ada empat lubang par-5 di sini dan ia memberi peluang kepada semua pemain untuk mencatatkan birdie, jadi saya harap dapat melakukannya esok,” katanya. Kejohanan bernilai AS$7 juta (RM29.06 juta) yang mendapat pengiktirafan bersama Jelajah PGA dan Jelajah Asia itu merupakan satu-satunya kejohanan di Asia Tenggara yang menawarkan mata Piala FedEx. -UTUSAN ONLINE











