KUALA LUMPUR – Tiga peserta Liga Sukan Untuk Semua (LiSUS) dipanah petir ketika bermain futsal kategori lelaki sempena Sambutan Hari Sukan Negara di padang Majlis Sukan Negara (MSN) di Bukit Jalil di sini hari ini.
Dalam kejadian pukul 4.30 petang itu, mangsa dikatakan sedang berentap di padang sebelum petir menyambar di kawasan tengah padang berkenaan.
Kosmo! difahamkan, mangsa yang terlibat merupakan pemain dari Sabah dan Labuan.
Sementara itu, Kementerian Belia dan Sukan (KBS) dalam satu kenyataan mengesahkan kejadian tersebut.
“Seperti yang tular di beberapa laman sosial, KBS dengan ini mengesahkan tiga orang peserta futsal LiSUS Peringkat Kebangsaan telah dipanah petir padang MSN, Bukit Jalil.
“Ketiga-tiga mangsa telah dikejarkan ke Pusat Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia (PPUKM) dan sedang menerima rawatan kecemasan,” katanya dalam kenyataan itu sebentar tadi. – K! ONLINE











