KUALA LUMPUR 12 Okt. – Syarikat penerbangan tambang rendah, AirAsia melancarkan tabung #ToIDwithLove bagi membantu Palu, Sulawesi, Indonesia yang dilanda gempa bumi dan tsunami pada 28 September lalu.
Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan AirAsia, Tan Sri Tony Fernandes berkata, tabung berkenaan akan mengumpulkan dana daripada orang ramai sehingga 31 Oktober ini.
Menurut beliau, hasil kutipan tersebut akan disalurkan kepada Yayasan Arkom Indonesia untuk membantu membina semula rumah-rumah yang terjejas serta meningkatkan daya tahan bencana di kawasan yang terlibat.
“Kami akan mengumpul derma dalam penerbangan AirAsia Malaysia, Thailand dan Indonesia bersama AirAsia X Malaysia, Thailand serta Indonesia sehingga hujung bulan ini dan diikuti penerbangan lain dalam Kumpulan AirAsia.
“Para tetamu yang ingin menderma boleh melayari laman web Yayasan AirAsia di airasiafoundation.com/relieffund. Jumlah dana yang berjaya dikumpul akan diumumkan kepada orang ramai pada Januari 2019,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Tambah Fernandes, AirAsia bersimpati kepada mangsa tragedi dan 2018 merupakan tahun yang sukar buat Indonesia.
“Sebagai syarikat penerbangan ASEAN kami amat dekat dengan komuniti ini dan ingin membantu mereka yang memerlukan.
“Melalui tabung bantuan ini kami berharap dapat mengumpul dana yang mencukupi untuk memberi sumbangan positif dalam usaha membina semula kehidupan mereka. Derma daripada orang ramai sangat dialu-alukan kerana setiap ringgit membantu meringankan beban mereka,” katanya.
Gempa bumi berukuran 7.4 Richter yang melanda Sulawesi Tengah turut menyebabkan tsunami setinggi lebih tiga meter di pantai Palu dan Donggala.
Setakat semalam, angka kematian penduduk meningkat kepada 2,073 orang manakala hampir 5,000 orang masih hilang. Dianggarkan sebanyak 191,000 orang memerlukan bantuan segera termasuk 82,000 orang yang kehilangan tempat tinggal.











