JAKARTA 12 Okt. – Perintah darurat di Sulawesi Tengah dilanjutkan selama 14 hari lagi melibatkan kawasan yang mengalami gempa bumi dan tsunami pada bulan lalu manakala operasi mencari mayat mangsa pula dilanjutkan selama sehari.
Gabenor wilayah itu, Longki Djanggola berkata, perintah darurat sepatutnya berakhir esok tetapi ia kini dilanjutkan sehingga 26 Oktober.
Keputusan itu dibuat setelah pihak berkuasa berdepan banyak masalah untuk menyediakan keperluan asas kepada penduduk di pusat penempatan, memperbaiki kerosakan infrastruktur dan membina rumah sementara.
Kerajaan juga memutuskan untuk membenarkan tempoh selama sehari yang sepatutnya berakhir semalam bagi pertubuhan-pertubuhan pemindahan meneruskan tugas ekoran wujudnya masalah kesihatan.
“Pada mesyuarat 8 Oktober lalu telah dipersetujui proses pemindahan sepatutnya berakhir 11 Oktober namun ekoran masalah perubatan, psikologi, sosial dan agama tempoh itu dilanjutkan atas permintaan pertubuhan itu,” kata jurucakap Agensi Mitigation Bencana Negara (BNPB), Sutopo Nugroho.
Menurutnya, kawasan tragedi yang mayat mangsa ditemukan akan dijadikan taman peringatan, lapor portal Jakarta Globe.
Jumlah mangsa yang terkorban setakat petang semalam ialah 2,071 orang dengan penemuan enam mayat lagi manakala seramai 650 mangsa masih hilang dan sekurang-kurangnya 150 orang dipercayai tertimbus dalam lumpur tebal.
Kerajaan merancang menyiapkan rumah sementara untuk mangsa dalam tempoh dua bulan.
Penduduk di perkampungan Balaroa akan ditempatkan semula ke kawasan Dayu manakala mereka dari Petobo dipindahkan ke Ngata Baru.
Sementara itu, pihak berkuasa Papua menghantar satu pasukan perubatan ke Palu yang dianggotai 10 petugas perubatan, dua pegawai agensi sosial dan dua pegawai Agensi Mitigasi Bencana Papua (BPBD).











