KUALA LUMPUR 12 Okt. – Suatu ketika dulu, permainan elektronik atau video sering dilabel sebagai perkara yang membuang masa, namun seiring dengan peredaran zaman, sukan elektronik (e-Sukan) telah menjadi industri hingga ramai yang menjadikannya sebagai kerjaya.
Mula berjinak dengan permainan elektronik sejak belasan tahun, Muhammad Farhan Abdul Gafar tidak menyangka minat mendalam terhadap permainan PlayerUnknown Battlegrounds (PUBG) membuatkannya mengambil keputusan berani dengan menjadikan e-Sukan sebagai karier.
Menceritakan pengalaman sewaktu mula-mula menceburi sukan tersebut, Farhan berkata dia pada awalnya menerima tentangan serta kecaman daripada keluarga dan rakan-rakan, namun selepas membuktikan sukan tersebut mampu menjadi kerjaya, dia akhirnya mendapat restu ibu bapanya.
“Saya mengambil keputusan untuk tidak meneruskan pengajian di Politeknik Port Dickson dalam jurusan Diploma Sains Kesetiausahaan selepas mendapat tawaran untuk menyertai pasukan Geek Fam. Tawaran itu diperoleh ketika saya memenangi satu kejohanan.
“Pada mulanya saya tidak beritahu ibu bapa saya bahawa saya sudah berhenti belajar ketika semester empat, namun saya menghadapi kesukaran untuk menyembunyikan perkara itu dan membuat keputusan memberitahu mereka.
“Mereka benar-benar marah dengan keputusan saya bagaimanapun selepas menunjukkan hasil ibu saya mula menerima serta merestui keputusan saya,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia di sini hari ini.
Kata Farhan, selain menerima gaji lumayan, majikannya turut menyediakan tempat tinggal, barang keperluan dapur dan rutin harian mereka dipantau rapi oleh pengurus pasukan.
“Mungkin masyarakat akan fikir kami akan bermain sehingga lewat malam tetapi tidak. Kami bekerja dari Isnin hingga Jumaat di mana pukul 11.30 pagi kami akan mula bermain hingga pukul 9 malam. Kami akan berhenti untuk solat dan makan sahaja.
“Selepas pukul 9 malam kami akan mengadakan perbincangan bersama pasukan. Kami perlu masuk tidur selewat-lewatnya pukul 12 tengah malam dan bangun pukul 9 pagi. Hari Sabtu dan Ahad waktu rehat untuk kami namun kami akan mengadakan latihan fizikal seperti pergi gimnasium, berenang dan bermain futsal.
“Makan minum kami turut dipantau oleh pengurus. Kiranya kami sudah boleh dianggap sebagai atlet e-Sukan,” katanya lagi. – UTUSAN ONLINE











